Sebuah kenderaan jenazah putih jenis Toyota yang
membawa seorang lelaki disyaki anggota polis, dipercayai untuk
menghantar mayat Jong Nam ke lokasi rahsia, memasuki HKL tengah hari
tadi.
PETALING JAYA: Mayat warga Korea Utara, Kim Jong Nam yang dibunuh pada 13 Februari lalu dipercayai sudah dikeluarkan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, lapor China Press dan Oriental Daily.
Menurut 2 akhbar berbahasa Cina itu, sebuah kenderaan jenazah berwarna putih jenis Toyota yang membawa seorang lelaki disyaki anggota polis, dipercayai untuk menghantar mayat Jong Nam ke lokasi rahsia, memasuki pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) kira-kira 1.30 tengah hari tadi.
Kelihatan seorang individu dipercayai anggota Cawangan Khas (SB) merakamkan proses mengeluarkan mayat.
Menurut sumber, selain polis, turut hadir di IPFN hari ini ialah anggota Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).
Selepas hampir 30 minit, kenderaan jenazah itu meninggalkan IPFN pada jam 1.58 tengah hari, dengan sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang berhenti di tepi jalan mengekorinya.
Ia disusuli kereta polis yang berhenti di luar IPFN dengan lebih 10 anggota polis berpakaian biasa bersama Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, DSP Gurbinder Singh Mann turut meninggalkan lokasi itu.
Sumber Polis Dang Wangi berkata, ia sekadar rondaan rutin polis, bukannya untuk mengeluarkan mayat Jong Nam.
Kakitangan perubatan di HKL turut menafikan mayat Jong Nam sudah dituntut.
Dianggarkan lebih 20 wartawan kembali ke IPFN hari ini selepas khabar angin mengenai mayat Jong Nam akan diserahkan kepada 2 wakil khas Korea Utara tersebar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dipetik Oriental Daily bagaimanapun enggan mengesahkan mayat Jong Nam sudah dituntut.
Beliau hanya berkata akan mengulas perkara itu pada sidang akhbar.
Terdahulu laporan Bernama memetik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kerajaan dijangka memutuskan segera tindakan ke atas mayat Jong Nam.
Katanya, perbincangan masih dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan Korea Utara.
“Beberapa keputusan sudah dicapai dan saya yakin 1 pengumuman akan dibuat segera. Pengumuman mungkin dibuat secepat hari ini,” kata Dr Subramaniam.
Semalam, delegasi Korea Utara dilaporkan sudah tiba di Malaysia bagi mengadakan rundingan yang memfokuskan 3 perkara utama iaitu pengurusan mayat Jong Nam, rakyat Malaysia terkandas di Pyongyang dan suspek dikehendaki yang masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment