Friday, March 3, 2017

Jenazah pelajar lemas di New Zealand selamat dikebumikan

Bernama

Jenazah sudah pun dimandi, dikapan dan disolatkan di sebuah masjid di Waikato, New Zealand sebelum diterbangkan pulang ke Malaysia

ALOR SETAR: Jenazah Abdul Azim Amzar Azmi, 21, pelajar Malaysia yang lemas di Tasik Karapiro, Waikato, New Zealand, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar, Hutan Kampung di sini kira-kira 10 pagi ini.

Bapa mangsa Azmi Abu Saman, 49, berkata beliau bersyukur semua urusan pengebumian anak sulung daripada lima beradik itu berjalan lancar.

“Niat kami, terutama ibunya, Azura Bahari untuk menatap jenazah Allahyarham buat kali terakhir tercapai juga.

“Perjalanan dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) ke sini juga lancar dengan ditemani adik lelaki saya dan keluarganya yang menetap di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis pengebumian tersebut.

Jenazah Abdul Azim Amzar disolatkan oleh Imam Masjid Hutan Kampung, Prof Abdullah Ghani dan kira-kira 200 anggota keluarga serta kenalan Allahyarham menghadiri majlis pengebumian itu.

Azmi menjelaskan, jenazah anaknya itu sudah pun dimandi, dikapan dan disolatkan di sebuah masjid di Waikato, New Zealand sebelum diterbangkan pulang ke Malaysia.

Jenazah Abdul Azim Amzar selamat tiba dari Auckland dengan pesawat Malaysia Airlines MH130 yang mendarat di KLIA pada 8.54 malam tadi.

Van yang membawa jenazah Allahyarham keluar dari Kompleks Kargo KLIA pada 10.30 malam dan tiba di Kampung Belukar di sini pada 5.30 pagi tadi.

Ketibaan jenazah disambut oleh kira-kira 50 anggota keluarga dan kenalan rapat yang menunggu sejak petang Rabu.

No comments: