ANTARAPOS.COM
SEPANG: Lelaki warga Korea Utara yang ditahan untuk membantu siasatan
kes pembunuhan Kim Jong-nam, dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Sepang hari ini di bawah kawalan ketat.
Ri Jong-chol, 47, yang direman sejak 18 Februari berhubung pembunuhan
Jong-nam, dibawa keluar dengan memakai pakaian kalis peluru dan
meninggalkan IPD Sepang pada pukul 8.50 pagi ini.
Lelaki berkenaan dibawa keluar dengan konvoi enam kenderaan selepas tempoh remannya sejak 18 Feb lepas berakhir hari ini.
Dia ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 17 Februari
lepas berhubung kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur 2 (klia2) oleh dua wanita asing pada 13 Februari lepas.
Lebih 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berkampung di hadapan
pintu masuk IPD Sepang seawal pukul 5 pagi selepas berita mengenai
pembebasan dan pengusiran Jong-chol dilaporkan.
Laluan di hadapan IPD Sepang itu disekat kepada lalu lintas kira-kira
10 minit sebelum konvoi yang membawa Jong-chol itu keluar.
Peningkatan kehadiran pengamal media menyaksikan anggota polis mula
membentuk barisan di hadapan pintu pagar premis itu pada pukul 8 pagi
bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini selain melancarkan aliran
trafik.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Jong-chol
akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asalnya berikutan
kekurangan bukti untuk mendakwanya.
Difahamkan lelaki Korea Utara itu akan melalui proses dokumentasi oleh
Jabatan Imigresen di Putrajaya sebelum diusir keluar ke negara asal hari
ini.
Dalam kejadian pada 13 Februari lalu, Jong-nam berada di klia2 bagi
menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang
dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam
pada Rabu lepas dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan membunuh
Jong-nam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment