Tuesday, February 21, 2017

Husam 'serang' ceramah PAS

MALAYSIAKINI
 
Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Ceramah 'Husam Lari dari Debat Baiah' di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi, bertukar kecoh apabila ADUN Salor itu tiba-tiba muncul di pentas ceramah berkenaan. 
 
Memetik laporan Sinar Harian, Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan, tiba di ceramah itu kira-kira jam 11 malam ketika Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi ucapan.
 
Husam dilihat duduk di kerusi barisan belakang atas pentas bersama beberapa pemimpin PAS lain, dan mendengar ucapan yang 'mengkritik' dirinya.
 
Tindakan tersebut telah menimbulkan ketidakselesaan penonton mahupun pemimpin yang ada di atas pentas itu, sekali gus dilemparkan dengan kata-kata yang tidak sopan oleh beberapa penyokong yang hadir.
 
Keriuhan sorakan penyokong juga tidak hanya berhenti di situ apabila sekali lagi kekecohan timbul semasa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud mula berucap.
 
Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong tidak dapat menahan kemarahan dan datang ke hadapan pentas mencabar bekas Naib Presiden PAS itu berdebat di hadapan mereka.
 
Bagaimanapun keadaan kembali tenang tidak lama kemudian apabila Husam dibawa keluar daripada ceramah berkenaan.
 
Difahamkan, ceramah anjuran PAS itu dibuat bagi memberi penjelasan mengenai tindakan Husam yang didakwa cuba berdolak dalih dalam menentukan tarikh sebenar perdebatan itu boleh dilangsungkan.
 
Dalam pada itu, Husam menerusi Facebooknya berkata, beliau bersedia berdebat dengan Nasuruddin yang juga ADUN Meranti, pada bila-bila masa. 
 
"Ingatkan malam ini (malam tadi) debat bai'ah akan berlangsung...Malang! Bukan Husam Lari. Husam mari.
 
"Namun, ia hanya menjadi majlis mempamerkan pimpinan Kerajaan Kelantan tidak 'gentleman'. Jangkaan saya akan diberi berucap sepatah dua - meleset.
 
"Untuk makluman YB Meranti - saya masih bersedia berdebat bila-bila masa dengan beliau. InsyaAllah saya tidak akan lari. Saya mari," tulisnya. 


No comments: