PADA siri kedua hari ini, Sorot akan menyingkap siapakah suspek pembunuhan Kim Jong-nam, iaitu abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Seperti yang kita tahu, empat suspek telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia, manakala beberapa lagi suspek dilaporkan berjaya melarikan diri dan juga masih berada dalam negara.
Siapakah keluarga mereka? Apakah pekerjaan mereka di dalam negara kita?
Dan persoalan utama yang bermain di fikiran semua kita adalah siapakah yang mengarahkan mereka untuk membunuh Jong-nam?
[ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa Korea Utara mahu Jong-nammati?]
Selain itu, ke arah mana hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara?
Apa yang pasti pihak polis sedang melakukan siasatan yang terbaik dan rakyat Malaysia haruslah mempercayai tugas yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Ikuti siri akhir Sorot.
Cerita di sebalik penghasilan My Father, Kim Jong Il, and Me
Penulis buku My Father, Kim Jong Il, and Me mendedahkan, Kim Jong-nam, gementar dan seakan dibelenggu rasa takut ketika sesi temu bual pada 2011 di Macau.
Yoji Gomi, seorang wartawan Jepun, berkata, mungkin Jong-nam menyedari bahawa dirinya menjadi buruan adiknya iaitu pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
“Mungkin dia menyedari bahawa dirinya berada dalam ancaman tetapi saya percaya dia tetap mahu memberikan pendapat berkaitan Pyongyang melalui media.
“Ketika itu dia berpeluh. Kelihatan seperti tidak selesa dengan soalan yang saya ajukan. Mungkin dia risau kesan daripada kenyataannya,” kata Gomi dalam satu sidang media di Tokyo, lapor wartawan AP, Mari Yamaguchi.
Mengimbau perhubungan awalnya dengan Jong-nam, Gomi berkata, beliau bertemu dengan lelaki bertubuh gempal itu pada 2004 di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China.
Dalam tempoh tujuh tahun sebelum sesi temu bual pertama secara bersemuka, mereka berhubung melalui email.
Sebanyak 150 email dihantar sebelum dua sesi temu bual pada 2011 di Macau dan Beijing. Dua temu bual itu berlangsung keseluruhannya selama 7 jam.
“Dia mengkritik pemerintahan Korea Utara. Dia tidak bersetuju dengan sistem sosialis dan pemilihan pemimpin perlu dilakukan secara demokrasi,” katanya.
Gomi menjelaskan, dalam sesi temu bual itu, Jong-nam secara lantang menegaskan bahawa Korea Utara tidak akan maju jika tidak melakukan pembaharuan ekonomi.
Penghasilan buku tersebut ternyata memberi impak yang besar terhadap Jong-nam.
Antara yang memberi kesan adalah kenyataan Jong-nam yang mengatakan Jong-un tidak akan berjaya sebagai pemimpin Korea Utara.
Melalui buku tulisan Gomi itu, segala penceritaan berkaitan pemerintahan keluarga dipaparkan untuk bacaan umum.
Gomi menjelaskan, Jong-nam merupakan harapan kecil buat Korea Utara menghapuskan pemerintahan kuku besi di negaranya.
Bagaimanapun menurut Gomi, harapan itu musnah selepas Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, 13 Februari lalu.
“Saya fikir, dia merupakan individu yang boleh melakukan sesuatu yang bermakna buat Korea Utara,” katanya.
No comments:
Post a Comment