SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan
kenderaan jenazah disalahguna untuk tujuan demonstrasi atau yang tiada
kaitan dengan urusan berkenaan.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda,
Datuk Mohamad Munir Bani, baginda bertitah kenderaan berkenaan adalah
untuk membawa urusan jenazah sahaja.
Baginda turut meminta pihak yang dipertanggungjawabkan menjaganya dengan baik dan tidak menyalahgunakannya.
“Adalah saya dengan hormatnya menyampaikan titah DYMM Sultan Selangor
kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid atau Ahli majlis Jawatankuasa
Kariah yang bertanggung jawab dengan kenderaan jenazah di seluruh
Selangor ini, supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah
seliaan mereka dan memanfaatkan kenderaan jenazah untuk urusan membawa
jenazah sahaja.
“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah tersebut disalah gunakan
selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat
demonstrasi atau kegunaan lain yang tidak kena mengena dengan urusan
pengendalian jenazah,” katanya.
Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan itu hanya akan memperlihatkan
bahawa umat Islam mempersendakan penggunaan kereta jenazah yang tidak
sepatut dilakukan.
Sehubungan itu, baginda mahu pihak yang menyelia dan mengawal kenderaan jenazah mengambil maklum dan mematuhi titahnya.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama atau individu, adalah jelas
kenyataan baginda ditujukan kepada tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai
Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membawa 15 van jenazah ke pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 14 Februari
lalu.
Jamal turut membawa keranda dan berpakaian seperti penggali kubur dan
mempertikaikan beberapa program negeri, termasuk Skim Mesra Usia Emas
(SMUE) dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula turut melahirkan rasa kesal
dengan tindakan pemimpin Umno itu yang “mengeksploitasi” aset masjid
untuk tujuan demonstrasi.
Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, tindakan Jamal bersama penyokongnya telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid.
No comments:
Post a Comment