Oleh Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Tiada sebarang keputusan akan dibuat Jawatankuasa Hak dan
Kebebasan DUN pada hari ini terhadap ADUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari
Ahmad Dahlan seperti yang diuar-uarkan Umno Selangor kepada media
semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor Hannah
Yeoh, keputusan itu hanya akan diumumkan pada sidang DUN Mac ini,
selepas badan itu berbincang dan mengeluarkan penyata sama ada mahu
mengambil tindakan atau tidak dan perlu mendapat kelulusan Dewan.
"Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan bermesyuarat hari ini untuk
membincangkan kata-kata yang diberikan YB Batang Kali semasa pendengaran
pada mesyuarat yang lepas saja.
"Seperti yang kita telah jelaskan dalam sidang media mesyuarat yang
lepas bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan hanya akan buat satu penyata
yang akan dibentangkan dalam sidang yang akan datang.
"Selepas penyata itu dibahaskan dan jika diluluskan baru ada keputusan,
keputusan tidak akan dibuat jawatankuasa pada hari ini," katanya kepada
media di Lobi SUK hari ini.
Semalam media mendapat jemputan bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN akan membuat keputusan terhadap tindakan Mat Nadzari.
Ia berkaitan kenyataan Mat Nadzari yang mendakwa bahawa terdapat isi
ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
Usul berkenaan telah dikemukakan oleh ADUN Sungai Pinang Datuk Teng
Chang Kim pada sidang DUN Selangor pada November tahun lepas.
Kata Hannah lagi, penyata yang akan dibawa ke sidang DUN itu nanti akan
menyatakan tindakan sama ada Mat Nadzari perlu memohon maaf kepada
Dewan, digantung ataupun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap
beliau.
Mengulas mengenai notis palsu yang disebarkan kepada media, Hannah
berkata badan itu tidak mengeluarkan jemputan kepada media bahawa
keputusan itu akan dibuat pada hari ini.
"Saya dimaklumkan media ada terima notis hari ini, saya tak pernah
hantar media notis. Perkara yang diletak dalam media notis itu memang
tidak tepat, (memang) Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan bermesyuarat
tetapi kita bukan buat keputusan (hari ini) seperti yang diletakkan
dalam surat itu," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment