Semua orang tahu, Bank Negara akan menyelaraskan kadar dasar semalaman (OPR) mengikut jangkaan kadar inflasi bagi mempengaruhi trend perbelanjaan, simpanan dan kadar pertumbuhan pinjaman bank di peringkat tempatan.
Semua orang juga tahu, kadar inflasi dikira mengikut indeks harga pengguna (IHP) dengan pendapatan boleh berbelanja menjadi kurang apabila kadar inflasi meningkat terutama di kawasan bandar setelah peratusan kenaikan gaji tidak setara mengikut sektor dan industri dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Inflasi dan Bank Negara
Justeru, apabila RHB Research menjangka inflasi akan meningkat kepada sebanyak 0.9 peratus kepada tiga peratus tahun ini daripada 2.1 peratus pada 2016, ramai yang mula gundah-gulana.
Jangkaan firma penyelidikan tempatan itu dibuat sejajar dengan harga bahan api lebih tinggi, penghapusan subsidi ke atas barang terpilih, lonjakan kos perniagaan serta penyusutan ringgit yang menyebabkan harga import yang lebih tinggi.
"Kadar inflasi naik kepada 3.2 peratus tahun ke tahun pada Januari 2017, daripada +1.8 peratus pada Disember dan November 2016. Ini disebabkan pemulihan dalam kos pengangkutan," kata firma berkenaan.
Walaupun tekanan inflasi kian mendesak, Bank Negara dijangka mengekalkan OPR pada paras semasa, tiga peratus pada 2017, sekaligus, mempengaruhi trend perbelanjaan dan perilaku pelabur serta penyimpan di negara ini.
Misalnya, apabila OPR dinaik atau diturunkan, ia mempengaruhi trend perbelanjaan dan menyimpan di kalangan rakyat negara ini dengan tatkala OPR naik, maka lebih ramai akan menyimpan supaya mendapat lebih banyak faedah dan kurang meminjam bagi mengelakkan pengenaan faedah pinjaman yang lebih tinggi.
Ini akan menjurus kepada kurangnya perbelanjaan di kalangan orang ramai seterusnya merencatkan usaha kerajaan untuk mengutip lebih banyak cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Sebaliknya, jika OPR diturunkan, ia akan menggalakkan orang ramai berbelanja dan membuat pinjaman bank sebagai mengambil kesempatan di atas pengenaan faedah lebih rendah.
Sistem monopoli dan AP
Cukuplah dengan istilah ekonomi yang pelbagai, kerana hakikatnya, poket akan semakin nipis apabila harga barangan dan perkhidmatan yang wajib dibeli pada setiap bulan menjadi semakin mahal.
Sebenarnya, tekanan inflasi ini mampu dikawal demi kelangsungan hidup rakyat pertengahan sekiranya kerajaan menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan atau mengawal sistem monopoli dan dasar Permit Import (AP).
Sebagai contoh, pasaran minyak masak di negara ini yang diguna pakai oleh jutaan isirumah di Malaysia dikawal oleh 23 'tauke-tauke' yang menentukan kenaikan atau penurunan harga barangan keperluan berkenaan.
Industri gula pula dimonopoli oleh empat kilang sahaja di negara ini yang berkuasa mutlak untuk menyorok atau melambakkannya demi mengawal harga barangan keperluan terbabit dalam menjana keuntungan yang diingini.
Itu belum termasuk AP barangan keperluan asas lain seperti tepung gandum, beras dan ternakan serta produk haiwan yang telah lama dimonopoli oleh syarikat dan individu yang didakwa berkait rapat dengan parti politik tertentu.
Persaingan dan kuasa pasaran
Jika sistem monopoli dan AP ini dihapuskan, ia akan menyebabkan persaingan kerana lebih ramai penjual untuk menawan hati bilangan pembeli tempatan yang statik dengan pelbagai kempen promosi termasuk diskaun harga, skim kesetiaan pelanggan dan kelebihan lain.
Apabila bilangan pengimport yang menjadi penjual semakin ramai bagi merebut pelanggan dalam pasaran yang statik, kuasa pasaran akan menjadi penentu harga barangan atau perkhidmatan tersebut.
Misalnya, lihat sahaja industri penerbangan tempatan sejak AirAsia Berhad dibenarkan untuk beroperasi kerana sebelum era 90an, hanya golongan berada sahaja mampu untuk menaiki pesawat.
Tetapi, selepas adanya AirAsia, sejajar dengan tema syarikat itu 'kini, semua boleh terbang', lebih ramai rakyat negara ini dari golongan pertengahan dan bawahan mampu merasai peluang menaiki pesawat ke dalam dan luar negara.
Keadaan tersebut juga 'memaksa' Malaysia Airlines menurunkan harga jualan dan meningkatkan kecekapan operasi serta kawalan kos bagi memastikannya kekal relevan dalam industri penerbangan.
Dengan adanya AirAsia, pihak berkuasa lapangan terbang terpaksa membangunkan lapangan terbang khas untuk firma kos rendah itu (KLIA2) yang mewujudkan peluang pekerjaaan dan perniagaan yang bukan sedikit kepada warga tempatan.
Begitu jualah halnya dengan harga barangan asas dan perkhidmatan yang akan 'terkawal' dengan sendirinya jika lebih banyak persaingan dibenarkan menerusi penghapusan sistem monopoli dan dasar AP yang dilihat lebih menguntungkan sesetengah pihak semata-mata.
Tongkat Proton
Bagi industri permotoran pula, langkah terbaru yang bakal menyaksikan kemungkinan Proton Berhad dibeli syarikat asing adalah langkah terbaik ke arah menurunkan harga kenderaan di negara ini.
Ini kerana, sejak berdekad-dekad lamanya, rakyat Malaysia 'berkorban' untuk membeli kerata Proton setelah cukai bagi kereta import dinaikkan sehingga ratusan peratus semata-mata mahu memberikan perlindungan kepada Proton.
Akhirnya, setelah lama diberikan 'tongkat', selesa dan bermegah dalam suasana 'monopoli' tanpa merasai perit-getir persaingan yang sebenar, Proton akhirnya berdepan kemungkinan hilang penguasaan 51 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Khabarnya, Pengeluar kereta Perancis, PSA Group, dan Zhejiang Geely Holding Group Co. yang merupakan pengeluar kereta China mengemukakan bidaan untuk membeli pegangan ekuiti dalam Proton Holdings Bhd.
Justeru, amat wajarlah jika ekonomi Malaysia melalui proses reformasi yang mendahulukan rakyat dalam erti kata sebenar dengan membiarkan kuasa pasaran menentukan harga, bukannya puluhan tauke-tauke yang sebenarnya menjadi 'lintah darat' yang menyedut nikmat dari puluhan juta rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment