KUALA LUMPUR:
Guru yang didapati menyertai perhimpunan Bersih yang dijadual
berlangsung Sabtu ini akan berhadapan tindakan disiplin, kata Menteri
Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata tindakan tatatertib yang akan dikenakan termasuk digantung tugas.
“Selain guru, sekiranya ada pegawai dan
kakitangan kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat
Pendidikan Daerah yang didapati menyertai perhimpunan, juga akan
dikenakan tindakan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang
media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Bett Asia 2016 yang
akan berlangsung selama dua hari di sini, mulai hari ini.
Dalam pada itu, Mahdzir turut mengingatkan supaya tidak melibatkan pelajar untuk menyertai perhimpunan itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai
laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa wujud sindiket
menjual soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, beliau
berkata kementerian menyerahkan perkara itu kepada polis untuk
melakukan siasatan.
Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir
berkata setakat ini di bawah inisiatif transformasi pendidikan, sejumlah
839,921 kanak-kanak berumur empat dan lima tahun telah didaftar masuk
dalam prasekolah.
“Usaha untuk meningkatkan enrolmen
prasekolah akan diteruskan termasuk penyediaan bantuan yuran kepada
kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan di bawah geran
pelancaran prasekolah swasta, prasekolah swasta digalakkan berdaftar
dengan kementerian.
“Pendidikan prasekolah berkualiti
disediakan kepada kanak-kanak menerusi usaha peningkatan kemahiran guru
prasekolah yang sekurang-kurangnya perlu memiliki Diploma Pendidikan
Awal Kanak-Kanak, pelancaran Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
dan pengenalan Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan,” katanya.
Mahdzir berkata Malaysia berdepan
cabaran sama sepertimana di negara lain iaitu isu keberkesanan dan
prestasi guru di dalam bilik darjah.
“Saya mengakui bahawa pendidikan
Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan, dengan itu menerusi pelan
transformasii, kementerian kini dalam peringkat pelaksanaan penilaian
berasaskan sekolah.
“Untuk memastikan keberkesanan
penyampaian efektif dalam bilik darjah, kualiti guru akan
dipertingkatkan menerusi pelbagai langkah, termasuk meningkatkan
standard kelayakan guru ke program pendidikan guru, melakukan rombakan
terhadap Institut Pendidikan Guru dan meningkatkan profesionalisme guru
menerusi pelbagai modaliti” katanya.
Mahdzir berkata sistem pendidikan
Malaysia perlu menggabungkan teknologi, inovasi dan kreativiti untuk
kekal relevan selaras dengan perubahan di dunia.
Sidang Kemuncak Kepimpinan Bett Asia
2016 ialah persidangan yang menghimpunkan pembuat keputusan penting dan
kalangan pembeli dalam ruang lingkup teknologi pendidikan dari Asia dan
sekitarnya.— Bernama
No comments:
Post a Comment