Saturday, November 26, 2016

JKR perlu seminggu baiki kawasan tanah runtuh

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
HULU SELANGOR: Jabatan Kerja Raya (JKR) memerlukan antara tujuh hingga 10 hari bagi membaiki laluan yang terjejas akibat runtuhan tanah di Taman Idaman, Serendah, termasuk menurap semula laluan berkenaan.
 
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata tempoh itu berdasarkan hasil pemantauan teknikal oleh JKR yang mendapati masih ada aliran air di bawah tanah di lokasi terbabit.
 
Katanya, laporan penuh mengenai kejadian juga akan dikeluarkan dalam tempoh tiga atau empat hari lagi.
 
"JKR juga perlukan masa untuk melakukan siasatan dan analisis kerana masih terdapat pergerakan air di bawah tanah. Proses ini mungkin lebih rumit jika hujan berterusan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
 
Katanya, JKR turut memaklumkan rancangan untuk memasang cerucuk lebih kukuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
 
Sementara itu, beliau menggesa penduduk terjejas supaya mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan proses mengumpul data dan pemantauan.
 
"Walaupun 64 keluarga sudah berpindah keluar dari rumah mereka seperti diarahkan, ada 22 keluarga lagi belum mendaftar dengan JKM.
 
Mungkin mereka menumpang di rumah anak atau saudara mara dan saya minta mereka daftar dengan JKM supaya kita tahu dan mudah memantau pergerakan mereka," katanya.
 
 

No comments: