Monday, November 28, 2016

Luluskan segera akta basmi politik wang, budaya rasuah

SALMIYAH HARUN 



 

KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera mendesak supaya penggubalan dan kelulusan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik disegerakan pada sesi parlimen akan datang, Mac 2017.

Pengerusi Gagasan Sejahtera Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melihat usaha yang dirintis kerajaan Malaysia merupakan satu langkah penyelesaian akar umbi untuk membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah yang menjadi barah pada hari ini.

Sebelum ini, Gagasan Sejahtera menyokong usaha ini yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan pada 30 September lalu.

Gagasan sebenarnya telah membentuk sebuah Jawatankuasa Bertindak Mengenai Amalan Politik Wang dan Budaya Rasuah pada Julai 2016, dua bulan sebelum draf Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik diumumkan oleh Paul Low baru-baru ini.

Jawatankuasa bertindak itu telah menyediakan sebuah memorandum mengenai kawalan urus selia dan politik serta amalan politik wang.

Di dalam memorandum tesebut, Gagasan telah mencadangkan beberapa langkah penting urus selia dana politik dan membasmi politik wang termasuklah menggubal satu akta yang berkaitan .

Bagaimanapun memorandum itu akan meliputi beberapa langkah yang proaktif iaitu membenarkan sesebuah parti politik menubuhkan syarikat bagi membiayai kegiatan politik mereka secara telus dan menyarankan kerajaan memberi geran tahunan kepada parti-parti politik dalam melaksanakan kegiatan mereka bersama masyarakat.

Memorandum Gagasan turut mencadangkan beberapa aspek penting yang tidak begitu disentuh oleh deraf cadangan Paul Low seperti penglibatan industri haram dalam membiayai ahli dan parti politik serta beberapa perkara penting yang lain.

Namun, menurut Timbalan Presiden PAS itu, pihaknya tidak dapat menerima beberapa perkara yang telah diusulkan dalam draf cadangan yang diisytiharkan oleh Paul Low.

"Ada beberapa cadangan jika diterima maka bukan sahaja pengawalan urus selia dana politik tidak akan berjaya malah akan memburukan lagi rasuah yang sudah menular di dalam sistem kerajaan hari ini.

"Antara yang dibantah, cadangan buang terus segala had terhadap perbelanjaan politik khsusnya pada waktu musim pilihan raya dan cadangan tidak dikenakan had untuk sebarang sumbangan politik atau penerimaan dalam kalangan pihak-pihak berkenaan," katanya di dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Tegasnya, cadangan ini bukan sahaja akan menggagalkan tujuan murni dalam draf cadangan bagi menggubal akta tersebut sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

Justeru jelas Tuan Ibrahim, pihaknya akan berusaha bertemu dengan Paul Low, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Hasil Dalam Negeri dan lain-lain agensi kerajaan berkaitan bagi mengemukukan memorandum tersebut.

"Kita berharap di dalam pertemuan itu Gagasan akan turut dilibatkan secara lebih aktif dalam usaha membasmi politik wang terutama yang berkaitan dengan cadangan yang dikemukakan Gagasan," ujarnya.

Turut bersama di dalam sidang media itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohamad Zuhdi Marzuki, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, Naib Presiden Ikatan Tunku Muinudin Putra Ahli Dewan Tertinggi Ikatan Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman dan Nik Marhalim Datuk Mohd Bakri. – HARAKAHDAILY 

No comments: