GEORGE TOWN: Beberapa ADUN Umno-Barisan Nasional (BN) mengambil
tindakan keluar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini selepas
Speaker Datuk Law Choo Kiang mengusir Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang
Tunggal).
Law mengarahkan Roslan untuk meninggalkan Dewan tersebut apabila beliau
enggan duduk selepas tercetus perang mulut antaranya dengan dan
beberapa ADUN Pakatan Harapan.
Ia berlaku semasa pembentangan resolusi mengutuk penahanan Pengerusi
BERSIH, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) (Sosma) oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Maria ditahan sehari sebelum berlangsungnya himpunan BERSIH 5 di Kuala
Lumpur pada Sabtu yang lalu dan kini ditahan untuk tempoh selama 28
hari.
Memetik laporan Malaysiakini, pertelagahan itu tercetus apabila Roslan
memberitahu Dr Afif Bahardin (PKR-Seberang Jaya), yang ketika itu sedang
berbahas agar tidak lupa bahawa bapanya adalah ahli Umno.
Afif yang terkilan dengan kata-kata Roslan menuntut beliau menarik
balik kenyataannya itu dan memberitahu agar 'tidak mengheret bapa saya'
ke dalam perkara ini.
Bahang pertelagahan semakin memuncak dengan para ADUN dari kedua-dua
pihak saling menuding jari antara satu sama lain selepas RSN Rayer
(DAP-Seri Delima) dan Soon Lip Chee (DAP-Jawi) berdiri menyokong Afif
dan menuntut Roslan menarik balik kenyataannya.
Roslan enggan berbuat demikian, sebaliknya, sentiasa mengingatkan Afif agar tidak melupakan asal-usulnya.
Pada ketika itu, Law meminta semua ADUN agar berhenti menjerit dan
kembali duduk di tempat masing-masing. Namun, perang mulut antara
keduanya tetap berterusan.
No comments:
Post a Comment