Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Hanya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja yang
layak menafikan sebarang kenyataan yang dibuatnya, terutama dalam soal
rundingan bersama pembangkang bersabit tujuan pertandingan satu lawan
satu pada pilihan raya akan datang.
Penegasan itu disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad,
sambil memberitahu pihaknya belum mendapat sebarang makluman lanjut
berhubung perkara berkenaan.
"Apa yang dilaporkan itu kita belum dapat pengesahannya.
"Kalau nak nafikan pun biarlah Presiden sendiri yang nafikan. Tidak
perlulah orang lain (yang nafi). Saya tidak mahu komen, biar Presiden
sendiri yang buat kenyataan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di
DUN Selangor, hari ini.
Iskandar, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor terlebih dahulu diajukan
kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menafikan
kenyataan Hadi bahawa parti itu sedia berunding dengan semua parti
pembangkang dalam memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan
Nasional (BN).
Nik Abduh sebaliknya menganggap kenyataan Hadi itu diputar belit oleh
pihak media, dengan sengaja menambah 'Pakatan Harapan' dalam konteks
rundingan berkenaan.
Hadi, Rabu lalu memberi amaran 'jangan kacau dalam rumah kami,'
sekaligus membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan
kerusi tradisi milik mereka.
Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan
membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan
prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kenyataan Hadi itu menyusul selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin
menyatakan kesediaan partinya mengadakan pertandingan satu lawan satu
dalam mendepani Umno-BN.
Mengambil suasana politik di Selangor, Iskandar bersetuju bahawa
strategi satu lawan satu perlu diwujudkan demi memastikan kekalahan
Umno-BN.
"Kalau ada tiga penjuru, BN akan menang. Untuk Selangor, sebagaimana
kita lihat di Sungai Besar, perlu ada satu lawan satu. Di tempat lain
saya tidak tahu, saya tidak mahu komen," kata ADUN Chempaka itu lagi.
No comments:
Post a Comment