Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat sengaja
tidak memberi ruang kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan isu
berkaitan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) yang
masih tertunggak sehingga kini.
ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan juga kesal dengan
sikap Azmin yang enggan membawa isu berkaitan penstrukturan semula air
ini ke siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,
Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) sekiranya beliau
benar-benar telus dan terbuka dalam hal ini.
"Masa Khalid ada di DUN (benarkan) beliau mengatakan perkara-perkara begitu supaya mudah Khalid balas apa yang didakwa.
"Khalid tidak diberi peluang yang adil. Seharusnya beliau diberi
peluang menerangkan perkara-perkara berkenaan. Semalam kita syorkan
kepada Azmin bawa isu ini kepada SELCAT tetapi beliau tidak berani.
"Jika benar ada perkara yang tidak betul berlaku, seharusnya (Azmin)
menyahut saranan kami semalam untuk bawa hal ini kepada SELCAT dan
Khalid dipanggil dan memberi penerangan sebenar kemudian bawa kembali
laporan (siasatan SELCAT) itu kepada DUN," ujar Mat Nadzari ketika
ditemui pemberita, hari ini.
Malah beliau juga mahu dakwaan Azmin semalam, bahawa Khalid
berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan SPLASH dibawa ke
siasatan SELCAT.
"Berkenaan surat-surat mengatakan tanpa pengetahuan DUN dan MMKN
(Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang dibangkitkan oleh Xavier
Jayakumar, (kemudian) Azmin pula kata hal itu sudah bertulis, ada
jawapan balas daripada SYABAS, (kerajaan) Pusat pun tahu... Hal itu
berlainan sebagaimana didakwa oleh Khalid.
"Itu yang sepatutnya dibuat. Bukan hanya buat dakwaan politik di dalam
DUN semata-mata hendak menutup dan mengelabui mata rakyat dalam hal ini.
Mentang-mentang Khalid tidak ada pada hari itu, maka beliau seronok nak
bercakap dan Khalid tidak beri peluang," tempelak Mat Nadzari lagi.
Azmin, ketika sesi penggulungan Bajet Selangor 2017 semalam mendakwa
Khalid, ketika menjadi menteri besar, sengaja tidak mendedahkan nilai
sebenar yang ditawarkan dalam pengambilalihan SPLASH.
ADUN Bukit Antarabangsa itu mendakwa Khalid sebenarnya menawarkan
jumlah RM2.975 bilion untuk mengambilalih syarikat konsesi berkenaan.
Malah bukan itu sahaja, Khalid juga didakwa gagal memaklumkan sebarang
perkembangan urusan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
(MMKN).
Sehingga kini kerajaan negeri, menerusi pentadbiran Khalid berjaya
mengambil alih tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holding Berhad
(PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium ABBAS Sdn
Berhad (ABBAS).
Hanya SPLASH sahaja yang belum dimuktamadkan meskipun tempoh rundingan pengambilalihannya berakhir pada Oktober lalu.
Sebelum ini Khalid menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH hanya
RM250.6 juta selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung syarikat
itu, namun ditolak syarikat konsesi itu dengan menegaskan nilai
syarikatnya berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika
dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai
RM3.9 bilion.
Sebaik sahaja Azmin dilantik menggantikan Khalid, ADUN Bukit
Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah
pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan sebanyak
RM2.45 bilion daripada tawaran asal.
Khalid menyifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat jika kerajaan
negeri pimpinan Azmin akur dengan jumlah yang dituntut SPLASH itu.
No comments:
Post a Comment