Sunday, October 9, 2016

Sudah tiba masa wujud kelas online

SINAR HARIAN
Idris Jusoh
Idris Jusoh. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


BESUT - Pihak pengurusan Pusat Pengajian Tinggi (PPT) di negara ini perlu bersedia untuk mengendalikan kelas atau kuliah secara dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian digalakkan kerana ia telah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Menurutnya, baru-baru ini empat fakulti di Universiti Malaya (UM) menutup kelas kuliah mereka selama seminggu setelah sidang pengajarannya berjaya dilakukan secara dalam talian.

Beliau berkata, setiap pengurusan Universiti Awam perlu bersiap sedia dengan perkembangan teknologi yang dilaksanakan bukan untuk menjimatkan kos, sebaliknya untuk memberi kemudahan kepada semua pihak dalam menuntut ilmu.

"Saya turut berbangga kerana UiTM (Universiti Teknologi Mara) juga akan mengikuti jejak pembelajaran secara dalam talian dengan pengwujudan 'smart classroom' pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut dalam pada itu berkata, Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang telah mengorak langkah bagi melaksanakan pembelajaran dalam talian melalui sistem MOOC (Massive Open Online Courses) yang diiktiraf dunia dan ia perlu dilaksanakan sepenuhnya oleh PPT di negara ini mulai sekarang.

"Dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, KPT kini amat menggalakkan pembelajaran mengikut cara sendiri dengan sistem MOOC yang diprkenalkan kepada pelajar ini," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, UM, UiTM dan Open University sedang melaksanakan MOOC dalam kalangan pelajarnya.

Idris pada majlis itu turut merasmikan perpustakaan yang dilengkapi sistem Teknologi Maklumat terkini dengan bantuan Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Shah Alam dan Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. - Bernama


No comments: