Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: Penyokong tegar Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan enggan menafikan atau mengesahkan wujud perpecahan
dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan.
Bercakap kepada Antarapos, Khairuddin hari ini berkata setiap
pertubuhan parti politik tidak terlepas daripada budaya berpuak-puak,
termasuk PPBM.
"Dalam mana-mana pertubuhan politik, perkara ini (perpecahan) normal.
Benda ini akan berlaku. Tidak siapa boleh nafi perkara ini boleh
berlaku. Dan sebab itulah saya nasihat, dalam PPBM ini jangan ada
berpuak-puak.
"Kalau mereka berpuak-puak, ada puak Mahathir, ada puak Muhyiddin, ada
puak Mukhriz, parti akan lingkup. Akhirnya masing-masing akan jaga
kepentingan (puak) masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakannya melangkah
kaki keluar daripada parti tersebut dipengaruhi oleh konflik dalaman
PPBM.
Khairuddin yang juga bekas pemimpin Umno Pulau Pinang turut memberi
amaran akan mendedahkan 'sesuatu' berkenaan parti itu sekiranya terdapat
pemimpin PPBM yang menyerang beliau berhubung tindakannya keluar parti.
"Dan dalam isu ini, saya akan membuat kenyataan yang jelas, tetapi saya
nak tengok tindak balas PPBM terhadap saya. Kalau mereka (PPBM) serang
saya, saya akan buat satu kenyataan balik yang mendalam.
"Kalau mereka (PPBM) menyerang saya, saya nak bagi amaran, saya akan bercakap sesuatu secara panjang lebar," tambahnya.
Semalam, dalam satu kenyataan, Khairuddin mengumumkan keluar daripada
PPBM untuk memberi fokus kepada kes-kes mahkamah yang dihadapinya
termasuk kes dalam dan luar negara yang membabitkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
No comments:
Post a Comment