CYBERJAYA - Kewujudan media baharu seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp pada masa kini dilihat telah menyebabkan media tradisional berada dalam keadaan terumbang-ambing.
Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Datuk Abd Jalil Ali berkata, namun begitu, media baharu dan media tradisional perlu bekerjasama bagi mewujudkan suasana yang lebih baik pada masa akan datang.
"Kita anggap media baharu ini sebagai satu cabaran tapi akhir-akhir ini kita tengok ia juga merupakan satu keperluan," katanya dalam Program Bual Bicara 1Media: Penyelesaian Transformasi Media Internet yang diadakan di Garden Residence, di sini, hari ini.
Oleh sebab itu, Abd Jalil berkata, beliau berpendapat, laman media sosial merupakan akhbar baharu buat pembaca namun kredibiliti berita yang disampaikan melaluinya perlu dititikberatkan oleh semua pihak.
Beliau berkata, setiap pengguna boleh mengakses mana-mana portal atau web dengan mudah namun kesan terhadap pembacaan tersebut adalah sangat penting.
"Sebab itu media baharu ini terbahagi kepada dua iaitu web yang menambahkan pengetahuan dan web yang dapat menjatuhkan kedudukan seseorang dalam sekelip mata," katanya.
Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, media cetak masih lagi mampu bertahan dan tidak akan mati hanya disebabkan oleh kemajuan gajet pada masa kini.
Jelasnya, dari segi laporan dan analisis, masyarakat dilihat masih cenderung untuk memilih media cetak berbanding media baharu disebabkan oleh maklumat terperinci yang dibekalkan buat pembaca.
"Jika ikut sejarah, masa era televisyen dan internet diperkenal sebelum ini, ramai yang berpendapat media cetak akan gulung tikar.
"Namun jika kita lihat pada masa kini, media cetak masih mampu bertahan dan bersaing dengan media baru yang ada,"katanya.
No comments:
Post a Comment