SHAH ALAM: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya
bercadang untuk mendedahkan jumlah sebenar ahli parti tersebut dalam
masa dua minggu lagi.
Katanya, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mendedahkan jumlah
penyertaan sebenar memandangkan borang secara manual masih belum dapat
dikumpul di setiap negeri.
"Secara jujurnya, saya agak terkejut dengan penyertaan golongan anak muda bawah 30 tahun ke dalam parti ini.
"Selalunya orang kata anak muda tak ambil kisah tentang parti politik,
tetapi majoriti yang daftar masuk (ke dalam PPBM) datang dari golongan
anak muda," katanya ketika dihubungi, memetik laporan Sinar Harian
Online.
Terdahulu, BMI Research yang merupakan anak syarikat Fitch Ratings
berkata, PPBM tidak akan memberi ancaman sama ada kepada Umno atau BN
pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut kumpulan penganalisis antarabangsa itu, parti serpihan Umno
yang baru ditubuhkan akan bertungkus-lumus untuk membezakan PPBM dengan
parti pembangkang lain.
"Cabaran-cabaran sedia ada dengan itu menjuruskan bahawa PPBM buat masa
sekarang tidak menimbulkan ancaman sama ada Umno atau BN dalam pilihan
raya 2018 kerana parti itu masih belum mencapai persefahaman dengan
parti-parti politik lain," kata BMI dalam analisis risiko politik.
Laporan itu menambah, parti baru itu tidak mempunyai sokongan akar umbi
walaupun bergantung kepada populariti pengerusinya, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Tambahan pula, PPBM nampaknya hanya mempunyai dua kawasan berpengaruh
di Pagoh dan Kedah yang berpunca daripada populariti peribadi Mahathir
dan Muhyiddin sebagai kubu kuat tradisi," jelasnya.
PPBM ditubuhkan oleh Mahathir dan Muhyiddin bertujuan menentang Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN pada pilihan raya umum akan
datang.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kebanyakan ahli PPBM didapati tidak pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini.
"Setakat ini, pihak kami sudah edarkan sehingga 200,000 borang dan kami masih terima pendaftaran secara atas talian.
"Bila semua borang sudah dikumpulkan kami akan umumkan jumlah sebenar ahli," tambah beliau.
No comments:
Post a Comment