KOTA BHARU: PAS belum mengadakan sebarang perbincangan untuk bergabung dengan parti lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata naib presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar berkata walaupun parti itu memberi peluang kepada Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap
di pentas mereka pada satu ceramah di Kemaman, Terengganu baru-baru ini,
ia bukanlah petanda bahawa PAS dan PPBM akan bergabung.
"Kami tak jawab apa-apa, tak ada perbincangan lagi (untuk bergabung
dengan PPBM). Baru duduk atas pentas sama sahaja. Orang kata 'don't read
too much'," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan
Persidangan Pendidikan Tinggi Kelantan di sini, Selasa.
Muhyiddin sebelum ini berucap di pentas PAS pada satu ceramah yang
diadakan di Kemaman, Terengganu dan turut mencadangkan supaya satu
bentuk kerjasama dapat dijalinkan secara rasmi dalam Pakatan Harapan
khususnya dengan PAS bagi mewujudkan gelombang perubahan besar ke arah
pembentukan kerajaan baru pada PRU14 akan datang.
Muhyiddin turut dipetik sebagai berkata PPBM bersedia untuk
bersama-sama dalam apa keadaan sekali pun dan optimis segala perbezaan
yang ada di antara parti serta perkara berbangkit dapat diselesaikan
melalui rundingan secara terperinci.
Dalam pada itu, Mohd Amar sekali lagi mengulangi pendirian parti itu
yang menutup pintu rundingan dengan DAP dan Parti Amanah Negara
(Amanah).
"DAP dan Amanah memang itu keputusan parti, kita tak akan berunding dan
tak berbincang apa-apa (dengan DAP dan Amanah). Orang lain kita 'open'
tapi belum ada perbincangan rasmi dengan siapa-siapa," katanya.
No comments:
Post a Comment