KULAI: Penghuni di Jalan Berlian 2, Bandar Putra dekat Kulai,
dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira satu
meter dari rumah penduduk, pagi tadi.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Bandar Putra Pegawai Bomba Kanan
II Mohd Nasib Mohd Sam berkata runtuhan berukuran kira-kira 30 meter
panjang dengan ketinggian 10 meter itu tidak membabitkan kemalangan jiwa
atau kerosakan harta benda.
"Bomba menerima panggilan daripada orang awam di perumahan itu pada
pukul 7.41 pagi tadi dan seramai 11 anggota bomba bersama dua jentera
bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan pemantauan," katanya yang
dipetik sebuah agensi portal berita.
Mohd Nasib berkata kejadian tanah runtuh itu berkemungkinan berlaku ekoran hujan pada kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Beliau berkata beberapa penduduk turut mendakwa terdapat kesan rekahan berlaku di jalan tersebut beberapa hari sebelum ini.
"Pasukan bomba hanya memantau keadaan jalan tersebut sehingga 11 pagi
tadi. Kami kemudian menyerahkannya kepada pemaju perumahan untuk
tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pihaknya sudah
menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Hasni berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulai juga sudah memaklumkan
kejadian terbabit kepada Majlis Perbandaran Kulai untuk tindakan
sewajarnya.
Khidmat nasihat daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) akan
diambil untuk tujuan siasatan selain membuat cadangan bagi kaedah
pembaikan runtuhan tersebut, katanya.
No comments:
Post a Comment