SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii tidak terkejut apabila menerima surat terbuka yang ditujukan kepadanya oleh 13 anak Melayu dalam DAP.
Tidak mudah melatah dengan situasi itu, Mohd Razlan berkata, beliau sudah dapat mengagak ia akan terjadi memandangkan beliau pernah diasak empat anak muda yang berlainan fahaman politik menerusi wacana Sinar Harian sebelum ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Umno diasak empat penjuru]
"Saya tak terkejut DAP bergabung dan berbincang bagi mengilhamkan sebuah karangan yang penuh sarat dengan kebencian terhadap Umno semata-mata ingin membidas apa yang telah saya perkatakan tempoh hari di dalam sebuah program debat anjuran Sinar Harian.
"Setelah saya berhujah empat orang menentang saya seorang, hari ini mereka memerlukan tiga belas kepala pula nak mengupas apa yang saya utarakan.
"Beginilah sindrom fobia yang wujud dalam DAP apabila setiap kali saya membangkitkan isu DAP bersikap biadap terhadap bangsa Melayu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Surat itu mendakwa, walaupun sering didatangi Mohd Razlan ke pejabat parti itu dengan ugutan, pihaknya masih boleh melayan Mohd Razlan dengan sopan.
Menurut surat itu, ia sama sekali tidak sama dengan kenyataan Mohd Razlan di dalam wacana yang mendakwa DAP tidak pernah hormat pada Melayu, malah menyebut bahawa sekiranya DAP berkuasa, ia tidak akan pernah hormat pada orang Melayu.
Menurut surat itu lagi, Mohd Razlan sepatutnya sedar parti yang dipertahakannya itu adalah sebuah parti yang diserang dari segenap sudut termasuk oleh bekas presidennya sendiri.
"Pun begitu kami ingin menasihatkan Razlan agar memeriksa keadaan dan menyedari bahawa semakin ramai orang Melayu zaman sekarang tidak makan dedak dan tahu dengan jelas bahawa selama ini Umno yang meletakkan Melayu di bawah telapak kakinya.
"Melayu di bawah Umno kini adalah Melayu yang diternak seperti ayam daging, diberi makan dedak, biar gemuk dan sihat, sebelum nanti disembelih dengan masalah-masalah seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal hutang 1MDB, rompakan Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta ancaman lain ekonomi termasuk risiko bankrap angkara pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pinjaman isi rumah yang melangit.
"'Ayam-ayam' dibela Umno ini disumbat dengan rasa takut hilang kuasa dan rasa takut kepada Cina. Inilah Melayu yang dididik Umno agar ia boleh diserkup dan disembelih dengan mudah, bagi melanjutkan kekuasaan elit Melayu dalam Umno yang kenyang dengan hasil menjarah dompet dan saku rakyat.
"Razlan sewajarnya sekali sekala melihat cermin dan bertanya kepada diri sendiri: Melayu jenis apakah yang beliau sudah jadi?
"Kecewa juga kami kerana tidak menerima jemputan Sinar Harian. Mungkin Sinar Harian pun tidak begitu sanggup menerima hakikat bahawa DAP sudah ramai anggota dan pimpinan anak muda Melayu," surat itu dipetik.
Mohd Razlan dalam kenyataan sama turut mempertahankan Sinar Harian sebagai penganjur forum tidak harus dipersalahkan kerana tajuk yang dibincangkan hanya berkait dengan anak Melayu mewakili parti Melayu.
"DAP juga mengadakan banyak forum yang dilaksanakan dengan menggunakan bukan bahasa kebangsaan, dan jangan salahkan Sinar Harian kerana tidak menjemput DAP.
"DAP tidak berhak membicarakan orang Melayu, Cina dan India termasuk Kadazan, Iban, Muruk dan lain-lain. Kerana DAP adalah parti sosialis yang tidak akan menerima bangsa sebagai kepentingan negara," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment