Thursday, September 1, 2016

Saya sudah duga, terus perjuang nasib rakyat walau penjara menanti

MALAYSIA DATELINE
 
 
Rafizi Ramli diarahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan membocorkan maklumat sulit berhubung laporan audit 1MDB.Rafizi Ramli diarahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan membocorkan maklumat sulit berhubung laporan audit 1MDB.


Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sudahpun menduga keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang bersetuju pihak pendakwa telah membuktikan prima facie terhadap beliau di bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

"Saya sudah pun duga.

"Saya mengikuti dengan dekat persediaan pembelaan yang dikemukakan oleh pasukan peguam saya yang diketuai oleh Gobind Singh Deo, Saiful Izham Ramli, Ahmad Nizam Abdul Hamid dan kumpulan peguam muda yang lain.

"Saya yakin hujah kami adalah kukuh dan akan memastikan kes pembelaan kelak akan menunjukkan kelemahan-kelemahan pendakwaraya yang sepatutnya mendorong mahkamah membebaskan saya.

"Pun begitu, saya pasrah dengan kemungkinan bahawa saya hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum proses mahkamah selesai dan saya dijatuhkan hukuman penjara.

"Kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) membawa hukuman wajib penjara sekurang-kurangnya satu tahun.

"Saya tidak menyesal dan tidak akan berubah pendirian atau pendekatan. Dalam perkara yang jelas betul atau salahnya, tanggungjawab seorang insan adalah berkata benar. Soal kesan akibat berkata benar itu wajarlah diserahkan kepada Allah SWT semata-mata kerana kalau kita yakin kita berkata benar demi mencari keredhaan Allah SWT, kita juga yakin Allah SWT akan melindungi kita dan keluarga kita," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, jika semua pimpinan masyarakat dan agamawan mengambil pendirian begini, lebih mudah semua masyarakat melawan kezaliman dalam masyarakat tidak kira betapa kuatnya kuasa pemerintah.

"Oleh itu, saya akan terus membawa isu-isu rakyat terbanyak lebih-lebih lagi dalam konteks kemelut politik pemimpin negara sekarang.

"Saya telah membuat satu kajiselidik ringkas yang disertai oleh 718 responden sejak dua minggu lalu.

Kajiselidik ini disebarkan secara meluas melalui media sosial dan whatsapp. Soalan penuh kajiselidik boleh disemak di https://poll.fbapp.io/exatdu

"Kajian ini bertujuan membantu saya memilih isu yang penting untuk rakyat dalam keadaan keseluruhan fokus ahli politik dan kebanyakan NGO sejak setahun lalu adalah 1MDB semata-mata serta usaha-usaha menukar Perdana Menteri.

"Sedang saya bersetuju sepenuhnya dengan sebarang usaha menukar Perdana Menteri serta merta kerana saya bimbang ada usaha menutup skandal 1MDB dengan menggunakan dana-dana awam seperti Tabung Haji, KWAP, KWSP, PNB, Perkeso dan lain-lain, saya juga khuatir keghairahan bercakap mengenai 1MDB dan memecat Perdana Menteri semata-mata tanpa membela nasib rakyat terbanyak akan menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan dilihat terpisah dari rakyat," ujarnya.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama-sama kenyataan ini. Ringkasan penting dari dapatan tersebut adalah seperti berikut:

1) 97% dari 718 responden berpendapat ada bukti kukuh Dato' Seri Najib Tun Razak terlibat di dalam skandal 1MDB

2) Hanya 67% berpendapat pendedahan baru mengenai 1MDB akan mempengaruhi keputusan mereka mengenai 1MDB

3) 92% berpendapat isu-isu kebajikan rakyat lebih penting diketengahkan berbanding Rang Undang-undang 355

4) Responden menyenaraikan "memperjuangkan isu rakyat untuk membela rakyat" sebagai tugas terpenting yang mereka mahu wakil rakyat laksanakan; lebih tinggi dari mendedahkan skandal 1MDB dan menukar Perdana Menteri semata-mata

Dapatan-dapatan ini memberi panduan kepada beliau bahawa tumpuan pimpinan Pakatan Harapan dan wakil rakyat sewajarnya kembali membela nasib rakyat dengan memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah harian mereka.

Kupasan skandal 1MDB tidak boleh berlegar kepada berapa banyak wang yang telah diselewengkan dan kemewahan keluarga Perdana Menteri semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada kesannya kepada kehidupan seharian rakyat dalam bentuk kos pendidikan tinggi yang makin tinggi, kos sara hidup, kelewatan bayaran caruman LTAT kepada pesara tentera, penggunaan dana awam dalam projek yang tidak sesuai dan lain-lain.

"Oleh sebab inilah saya jarang mengulas mengenai skandal 1MDB dan polemik politik menukar Perdana Menteri semata-mata kerana ia wajar diimbangi dengan pembelaan rakyat yang ada kesan nyata pada kehidupan harian mereka.

"Saya akan gunakan saki baki beberapa bulan yang saya ada (mengambil kira kemungkinan saya akan dijatuhkan hukuman penjara) untuk membawa isu-isu rakyat agar dapat menjadi tumpuan umum.

Antaranya beliau menyenaraikan isu berkenaan:

1) Risiko keruntuhan model pembiayaan pendidikan tinggi melalui PTPTN yang akan bawa kesan besar kepada rakyat. Saya akan bentangkan kertas kajian saya di Kongres Mahasiswa Kebangsaan Ke-2 pada 17 September 2016 ini.

2) Membela pesara tentera dan perajurit untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat bayaran caruman yang tepat pada masa. Saya akan umumkan siri dialog dengan pesara tentera esok.

3) Membela golongan muda dengan menumpukan kepada persoalan peluang pekerjaan yang lebih adil, soal penggajian dan undang-undang muflis yang tidak adil. Saya akan lancarkan satu NGO khusus untuk memperjuangkan isu-isu ini dalam bulan Oktober.

4) Menjaga wang rakyat dalam tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, Felda, KWAP, PNB dan KWSP. Saya akan menyambung kembali pendedahan saya mengenai kelemahan pengurusan di Tabung Haji selepas Hari Raya Aildiladha minggu depan.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR turut mengecam semua pimpinan perkhidmatan awam di peringkat atasan yang bersekongkol memangsakan rakyat kerana pentingkan kedudukan dan pangkat.

"Saya mengecam semua pimpinan di syarikat-syarikat dan tabung milik rakyat yang menjadi pengatur bagi membolehkan penguasa memakan harta rakyat.

"Saya mengecam semua pimpinan politik yang secara langsung atau tidak langsung membenarkan rakyat terus dimangsakan dan dipijak walaupun negara sudah bebas dari pentadbiran penjajah 59 tahun lalu.

"Saya mengecam semua pimpinan masyarakat yang memberi pelbagai alasan untuk tidak lantang bersuara membidas pihak-pihak yang mempunyai kuasa sehingga golongan muda berdepan dengan risiko mewarisi hutang negara yang diluar kemampuan mereka menanggungnya.

"Anda bergembira dan bermewah dengan habuan gaji dan kedudukan yang anda ada sedangkan sumbernya itu datang dari rakyat. Anda akan diadili suatu hari nanti dan saya doakan anda berpeluang memperbetulkan kesilapan lalu.

"12 bulan akan datang adalah pecutan terakhir yang perlu meletakkan rakyat di hadapan. In Sya Allah masa beberapa bulan yang berbaki ini saya akan memberi sepenuh komitmen kepada kebajikan rakyat," ujarnya.

No comments: