Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Parti Amanah akan menawarkan satu jawatan yang sesuai dan
setaraf dengan kebolehan serta pengalaman yang dimiliki Datuk Husam
Musa.
Menurut Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub, Amanah akan memanfaatkan
sepenuhnya kelebihan yang ada pada ADUN Salor itu terutamanya dalam
membawa pengaruh dari negeri pimpinan PAS, Kelantan.
Tawaran itu timbul selepas bekas naib presiden PAS berkenaan menyertai Amanah semalam.
"Saya rasa dalam masa terdekat kita akan bincang tentang kedudukan
beliau. Sudah pasti beliau akan diberikan satu peranan setaraf dengan
kebolehan dan pengalaman serta wibawa beliau," katanya kepada Antarapos.
Selain itu, katanya peranan dan tugas yang bakal disandang Husam belum ditentukan lagi
Tambah beliau, satu mesyuarat akan diadakan di peringkat kepimpinan Amanah mengenai hal itu.
"Itu akan kami bincangkan dalam masa terdekat, kerana peranan dia dan
kedudukan beliau adalah sesuatu yang telah kita sediakan. Apabila beliau
memberikan isyarat beberapa bulan lalu untuk sertai Amanah dan semalam
baru sah.
Awal hari ini, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata
parti itu langsung tidak terjejas dengan tindakan Husam yang menyertai
parti Amanah.
Ujarnya, kehadiran Husam dalam Amanah bukanlah kayu pengukur kepada
kekuatan parti itu dan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang akan
menghakimi sejauh mana Amanah mampu berdiri.
Merujuk kenyataan itu, Salahuddin berkata kehadiran Husam dalam Amanah
merupakan satu lonjakan besar yang akan memberikan impak kepada Amanah
di Kelantan.
"Saya tidak terkejut dengan ucapan itu tapi bagi kami kehadiran Husam
ke dalam Amanah di atas kerelaan beliau sendiri merupakan satu lonjakan
besar yang akan memberikan impak politik di Kelantan," katanya.
Husam bertindak menyertai Amanah selepas dipecat daripada PAS April
lalu, susulan lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno.
No comments:
Post a Comment