Isnin, 4 April 2016

Yang tidak patriotik adalah pemimpin korup, salahguna kuasa dan rosakkan ekonomi

Lim Guan Eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar yang membebankan serta penyelewengan dana wang rakyat yang dilakukan kerajaan UMNO-Barisan Nasional adalah faktor utama lebih ramai rakyat Malaysia sejak akhir-akhir ini memilih untuk menetap dan bekerja di luar negara.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas tindakan sesetengah pemimpin parti pemerintah itu yang lantang melabel mereka yang meninggalkan negara demi mencari kestabilan ekonomi dan politik sebagai bersikap tidak patriotik.

“Ia adalah kerana rasuah dan mereka yang mempertahankan tindakan rasuah, dan bukannya rakyat yang tinggal di luar negara, yang harus digelar sebagai tidak patriotik,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Guan Eng menjelaskan, tindakan yang diambil sebahagian besar rakyat Malaysia itu adalah disebabkan oleh pelbagai skandal kewangan yang melibatkan pemimpin tertinggi UMNO-BN, malah turut dilakukan pegawai kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga dana awam.

“Malaysia sudah amat menderita dengan pelbagai amalan rasuah seperti skandal 1Malaysia Development Berhad(1MDB), “derma” RM2.6 bilion, skandal lembu dan kondo, penyelewengan RM107 juta dana kerajaan melibatkan Kementerian Belia dan Sukan dan skandal kehilangan RM52 bilion saham bumiputera.

“Kesemua skandal kewangan berkenaan telah mengakibatkan kerugian amat besar kepada negara sehingga menyaksikan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kemerosotan 30 peratus nilai matawang ringgit,” katanya.

Malah, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tindakan pihak UMNO-BN yang dilihat cenderung menyalahkan mereka yang meninggalkan negara ini untuk pekerjaan dan gaji yang lebih baik akan mengakibatkan lebih ramai lagi rakyat negara ini mengambil langkah yang sama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menyifatkan rakyat yang meninggalkan negara ini untuk menetap dan berkhidmat di negara luar sebagai tidak patriotik.

Tambah Guan Eng, skandal kewangan yang dihadapi negara bukanlah satu-satunya faktor utama kepada masalah terbabit, isu seperti penghakisan kuasa perundangan, penindasan terhadap hak asasi, diskriminasi, pemusnahan alam sekitar dan rasa tidak hormat terhadap maruah manusia juga adalah faktor penyumbang kepada permasalahan berkenaan.

Lebih ironi lagi, menurutnya, langkah yang diambil kerajaan dengan menandatangi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang berobjektif untuk menggalakkan rakyat dari pelbagai negara bergerak dan menyertai pertumbuhan ekonomi negara lain juga dilihat tidak selaras dengan kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO-BN itu.

“Jika tindakan mereka itu tidak patriotik, mengapa kerajaan Malaysia masih mahu menyertai TPPA?” soalnya.

Mengambil kira faktor-faktor berkenaan, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menggesa supaya Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO supaya membuat permohonan maaf terhadap rakyat ekoran kenyataan yang “tidak bertanggungjawab dan berbaur ekstremis itu”. – Roketkini.com


Tiada ulasan: