Thursday, April 21, 2016

SEMBANG-SEMBANG TENTANG "KIRA-KIRA BODOH" WANG RM2,600 JUTA

shahbudindotcom


Pagi tadi saya minum pagi sambil berbual-bual dengan seorang pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara sejak kira-kira lima tahun yang lalu.

Beliau kini menghabiskan banyak masanya  dengan keluarga, berjumpa kawan-kawan dan sesekali bermain golf.

Sambil berbual-bual dan bercerita mengenai banyak perkara, topiknya kemudian terseret kepada isu wang RM2,600 juta yang diakui diterima oleh Najib Razak sebagai derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi, tetapi dipertahankan oleh WSJ bersumberkan daripada 1MDB.

Katanya, sebagai pegawai pencen, beliau cuba membuat "kira-kira bodoh" mengenai wang  sejumlah RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib dan membandingkannya dengan kehilangan sebanyak AS$3.51 bilion atau RM14,000 juta yang dibayar oleh 1MDB kepada sebuah syarikat palsu, Aabar BVI.

Menurut beliau, walaupun dijelaskan bahawa ia merupakan derma, tetapi katalah dakwaan WSJ terbukti benar dan disertakan dengan bukti-bukti yang menunjukkan wang itu memang sebahagian daripada RM14,000 juta yang dibayar kepada syarikat palsu, Aabar BVI, bermakna ada pihak lain yang untung lebih besar iaitu sebanyak RM11,400 juta.

Katanya, oleh kerana wang RM14,000 juta itu bukan untuk pelaburan perniagaan, tetapi dibayar kepada syarikat palsu dan kemudian sudah pun ditutup, sudah tentu kesemua wang tersebut dianggap hilang sepenuhnya.

"Persoalan sekarang, siapa yang mengaut lebihan RM11,400 juta itu, tetapi hanya menanggung liabiliti yang minima saja?"

"Saya tidak mengatakan Najib menerima wang itu daripada 1MDB, tetapi katalah jika ia terbukti benar, bahagian yang diterimanya dikira kecil atau ciput berbanding beban kerosakan dan cagaran kepada nama, jawatan, imej keluarga, parti dan negara yang terpaksa ditanggungnya.

"Tetapi ada pihak lain yang dapat habuan jauh lebih besar dengan liabiliti yang kurang," jelasnya dengan panjang lebar.

Selain itu, pegawai kerajaan tersebut juga menghuraikan kelemahan paling ketara dalam isu 1MDB dan wang RM2,600 juta ini ialah disebabkan kegagalan Najib sendiri memainkan peranan utama menjawab serta menangkis pelbagai siri dakwaan, bukan saja oleh WSJ, tetapi juga oleh pihak-pihak lain terhadapnya.

Katanya, berbeza dengan zaman Tun Mahathir dulu, apabila timbul sesuatu isu besar yang melibatkan persoalan dirinya, parti dan negara, bekas Perdana Menteri itu sendiri yang akan memainkan peranan utama menjawab, menangkis dan memberi penjelasan tanpa henti-henti.

Tetapi, jelasnya, lihatlah sekarang ini, Najib seolah-olah bersembunyi dan takut membuka mulutnya, manakala tugas menjawab, menangkis dan memberi penjelasan itu lebih banyak diambil alih oleh Salleh Said Keruak, Azalina Othman Said dan lain-lain menteri yang bertaraf rendah.

"Siapa mahu dengar jawapan daripada Salleh atau Azalina, sedangkan yang terlibat secara langsung dalam isu yang meresahkan rakyat ini adalah Najib," ujar beliau.

Rakyat, tegasnya, sudah tentu ingin Najib sendiri yang lebih berperanan mempertahankan dirinya, manakala menteri-menteri lain sepatutnya sebagai watak tambahan saja. 

No comments: