Thursday, April 21, 2016

Aplikasi mohon cerai dalam talian galakkan penceraian - Muafakat

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina menyifatkan pengenalan aplikasi permohonan cerai dalam talian akan 'menggalakkan' penceraian di kalangan pasangan yang kini semakin membimbangkan.
 
Jelasnya, walapun hukum penceraian itu harus namun ujarnya perkara sedemikian tidak perlu 'dimudahkan' berikutan ia melawan tujuan sebenar perkahwinan itu sendiri. 
 
"Saya melihat begitu, ia mengalakkan penceraian kemudian menjadikan manusia iaitu suami tidak bertanggungjawab.
 
"Kita kembali kepada prinsip, cerai itu memang harus tapi ada ketikanya wajib bercerai tapi jika kamu buat terlampau mudah dan senang begitu jadi dia melawan tujuan perkahwinan.
 
"Jadi bagi saya adalah lebih baik (kekalkan) amalan biasa seperti panggil kaunseling, nasihat dan seumpamanya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri Perak yang memperkenalkan aplikasi permohonan cerai secara dalam talian yang dikenali sebagai 'MySolve'.
 
Pengenalan aplikasi tersebut menjadikan Perak sebagai negeri pertama yang memperkenalkan aplikasi sedemikian. 
 
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata aplikasi itu bukan untuk menggalakkan pasangan suami isteri becerai, namun sebagai pemudah cara bagi mereka menyelesaikan masalah rumah tangga yang berbangkit.
 
Selain itu, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Asa'ari Mohd Yazid berkata aplikasi MySolve dibangunkan sejak Januari lalu dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.
 
Beliau berkata menerusi MySolve, permohonan cerai boleh diselesaikan selewat-lewatnya dalam tempoh satu minggu berbanding prosedur biasa yang mengambil masa sehingga dua bulan.
 
Aplikasi ini akan dikenakan bayaran pendaftaran permohonan perceraian sebanyak RM50.
 
 

No comments: