BERNAMA
Kerajaan
Selangor tidak menolak kemungkinan untuk menyemak semula dasar
pemberian air percuma 20 meter padu selepas proses penstrukturan semula
industri air di negeri itu selesai sepenuhnya.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata memandangkan kos
pengambilalihan menelan kos begitu tinggi maka wajar kerajaan negeri
mempertimbangkan supaya pemberian air percuma hanya diberikan kepada
rakyat yang berpendapatan rendah.
"Ini antara pandangan yang banyak kita terima dalam beberapa tempoh
lalu (pemberian air percuma kepada rakyat berpendapatan rendah sahaja).
Program yang begini baik dan menelan kos yang besar dapat dimanfaat oleh
golongan yang benar-benar memerlukan.
"Bagaimanapun, pada ketika ini kerajaan negeri masih memutuskan untuk
teruskan (program air percuma) bagi 2016, namun setelah selesai
penstrukturan industri perkhidmatan air yang juga menelan kos begitu
tinggi, maka amat wajar cadangan dikemukakan diberikan perhatian serius
supaya kos dikeluarkan ini dapat tepati kumpulan sasaran ini," katanya.
Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata demikian ketika
menjawab soalan tambahan Saari Sungib (Amanah-Hulu Klang) yang ingin
tahu sama ada kerajaan negeri bercadang melaksanakan program pemberian
air percuma itu hanya kepada rakyat berpendapatan rendah.
Menteri Besar berkata sejak mula dilaksanakan pada 1 Jun 2008
sehingga 31 Dis 2015, program pemberian air percuma menelan kos sebanyak
RM1.1 bilion dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Beliau dalam pada itu menyeru rakyat Selangor supaya mengamalkan sikap berjimat cermat apabila menggunakan air.
"Statistik mendapati kadar penggunaan air dianggarkan 235 liter bagi
setiap individu setiap hari dan kadar penggunaan ini adalah sangat
tinggi jika dibandingkan dengan kadar penggunaan di Singapura yang hanya
guna 170 liter seorang sehari dan piawaian dikeluarkan oleh WHO
(Pertubuhan Kesihatan Sedunia) hanya 150 liter seorang sehari," katanya.
No comments:
Post a Comment