Wednesday, April 20, 2016

Sebab saya terpaksa bayar kepada ‘ulat parkir’

 | April 19, 2016
Sebelum tampil dengan arahan 'jangan' bayar kepada ‘ulat parkir’, pihak berkuasa sepatutnya mengkaji cara membanteras kewujudan pengutip parkir haram ini.
KOMEN
ulat-parking2

Berita mengenai arahan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz yang menasihati orang ramai supaya tidak sesekali membayar kepada ‘ulat parkir’ menjadi buah mulut orang ramai. Sejak semalam hingga ke pagi tadi, masih ramai yang terus mengadu dengan cadangan atau arahan pihak berkuasa yang dianggap bakal menyusahkan mereka.

“Saya tidak kisah bayar, kalau ulat parkir minta lebih, saya akan cuba tawar-menawar. Takkan saya nak biar kereta RM70,000 saya dicalar atau dirosakkan kerana tidak bayar RM10? Kalau rosak, atau kena calar lagi beratus saya kena belanja. Lagipun ulat parkir ini memang menjaga kereta di bawah pengawasan mereka,” kata seorang rakan yang selalu berbuat demikian di kawasan sekitar Brickfields.

Katanya, dengan kadar bayaran RM3 sekali bayar kepada ulat parkir itu, dia dapat pergi makan dan membeli-belah dengan tenang tanpa bimbang tentang kenderaanya. Lagipun ulat parkir itu juga akan membantu dia dari segi kawalan trafik dengan membantu memberhentikan kereta lain selain memudahkannya keluar dari kawasan parkir dengan selesa.

“Tidak bermakna saya sokong ulat parkir, tetapi pihak berkuasa sepatutnya memikirkan alternatif lain ataupun menyelesaikan masalah ulat parkir sebelum keluar dengan arahan tersebut,” katanya.

Namun bukan semua orang yang selesa dan sanggup membayar seperti rakan saya, Seema. Malah saya sendiri pernah bertikam lidah apabila diminta bayar kerana saya meletak kenderaan pada waktu malam di mana tiada bayaran parkir yang sepatutnya diperlukan. Bagaimanapun ulat parkir ini menggunakan peluang itu untuk memungut duit sendiri dengan janji akan menjaga keselamatan kereta. Akhirnya saya terpaksa berserah dan bayar sahaja duit yang diminta.

Ini termasuk uncle-uncle yang separuh mabuk atau pak cik-pak cik gelandangan (saya percaya) yang kelihatan kasihan dan tentu sekali ‘di luar kawalan’ mereka ‘menjaga’ kawasan itu dengan caj sekitar RM1 hingga RM5 .

Takut, kesian, sikap tidak mengapa antara sebab yang mendorong pengguna seperti kami terus membayar duit kapada ulat parkir. Takut kami diapa-apakan, takut kereta diserang, takut diekori, sebagai wanita, saya bayar sahaja.

Ini tidak termasuk jika kawasan itu dikawal oleh sindiket pengutip parkir haram. Rangkaian mereka jauh lebih merbahaya dan merekalah yang berkelakuan kurang ajar dan marah dengan melempar kata-kata kesat apabila kami enggan membayar. Mereka juga lazimnya terdiri daripada belia muda yang kelihatan menggerunkan. Saya lagi takut dan tidak pernah berkata ‘tidak’ atau tawar-menawar pada mereka kerana daripada gaya lagaknya saya tahu, mereka bukan jenis yang akan melayan kita.

Silap-silap haribulan, saya pula kena tumbuk, jadi saya bayar sahaja. Inilah nasib kami yang menjadi mangsa sama ada kepada pihak yang lemah kerana kasihan atau pihak yang merbahaya kerana takut.

Tetapi saya sangsi jika elemen-elemen ini dikaji oleh pihak berkuasa membuat arahan jangan bayar sesen pun kepada mereka? Sekurang-kurangnya pihak berkuasa ada membuat tinjauan dalam kalangan pengguna dan mereka yang menjadi mangsa keadaan tersebut.

Di kawasan tertentu di Kuala Lumpur, selain pihak polis, pihak DBKL juga aktif bergerak sepanjang masa tetapi bagaimana dengan kawasan lain? Kalau kami atau kereta diapa-apakan, siapa yang akan menanggung kesannya? Perkara sebegini boleh menjadi trauma sepajang hidup. Sudahlah kes ragut pun tidak dapat dibendung dan semakin berleluasa, inikan pula serangan ular parkir.

Bagi saya, mungkin pihak berkuasa DBKL harus mengambil kira pelbagai aspek dan mengkaji masalah akar serta kesan kepada pengguna seperti kami sebelum tampil mengeluarkan arahan.

Basmi dahulu ulat parkir ini, banteras dahulu sindiket kutip parkir haram, buat pengawasan ketat dari semasa-ke semasa, pastikan kami (pengguna) berasa selamat dengan kawasan sekitar khususnya pada waktu senja dan malam, kemudian berilah apa sahaja arahan.

Kepada Datuk Bandar DBKL, kami memang tidak mahu membayar sewenang-wenangnya kepada ulat parkir ini, dan arahan anda memang betul, cuma anda lupa atau lalai dalam mengkaji kesannya kepada kami.

No comments: