Wednesday, April 20, 2016

Polis siasat video viral anggota 'makan rasuah'

MALAYSIAKINI




Polis sedang menyiasat dakwaan terdapat anggota polis mengambil rasuah, seperti yang dirakam dalam sebuah video viral di Internet.

“Kami sedang menyiasat perkara ini, tindakan akan diambil terhadap anggota polis yang bertanggungjawab dalam hal ini.

“Kami gesa orang awam untuk tampil ke depan dan membantu menjelaskan isu ini,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Malaysiakini.

Dalam video kira-kira dua minit itu, dua anggota polis berpakaian seragam kelihatan menerima wang daripada seorang individu setelah berbual seketika.

Individu itu, yang kelihatan mirip remaja lelaki, kemudian kelihatan bersalaman dan berlalu pergi.

Sebuah NGO yang mendukung pentadbiran Datuk Seri Najib Razak Pertubuhan Minda Sosial dan Prihatin (PMSP) berkata tindakan itu memalukan pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu tidak menggambarkan sikap keseluruhan anggota polis.

No comments: