Berdepan dengan risiko kemungkiran bon, 1MDB cuba menyelesaikan isu bayaran faedah AS$50 juta dengan penangguhan tempoh lima hari, menurut laporan Bloomberg.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, beliau menjangkakan bayaran faedah akan dibuat melalui "penyelesaian baik" berhubung perkara itu.
"Adalah penting untuk mengekalkan perspektif di sini.
"Kami berhubungan secara langsung dengan IPIC (International Petroleum Investment Company) dan sedang mencari jalan bagi melalui perbezaan ini demi mendapatkan penyelesaian," katanya yang dipetik Bloomberg.
Semalam, IPIC berpangkalan di Abu Dhabi berkata pelan menyelamat 1MDB yang dimeterai syarikat itu dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) tahun lalu ditamatkan.
Dalam pengumumannya kepada Bursa Saham London, IPIC berkata ia dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS tidak lagi bertanggungjawab kerana 1MDB dan MOF telah gagal untuk membayarnya lebih AS$1 bilion seperti yang dijanjikan.
Pengumuman itu dibuat ketika laporan tersebar bahawa IPIC enggan membayar faedah AS$50 juta bagi pihak 1MDB yang matang hari ini bagi terbitan bon AS$3.5 bilion.
Ini menyaksikan 1MDB menghadapi risiko gagal bayar.
Namun di sebalik tindakan IPIC menamatkan perjanjian mereka, Arul Kanda masih menaruh harapan firma Abu Dhabi itu akan menunaikan janji-janjinya.
"Jika IPIC tidak membayar mengikut perjanjian, kami perlu menilai kedudukan semula kerana jelas pada asalnya hutang itu adalah tanggungjawab kita.
"Walaupun terdapat kebimbangan di kalangan sentimen pelabur, saya fikir kuantum dan keupayaan kita untuk membayar tidak dipersoalkan," katanya.
Di bawah perjanjian menyelamat asal yang dimeterai pada 28 Mei 2015, IPIC pada 4 Jun menyediakan AS$1 bilion kepada 1MDB untuk membayar balik hutang AS$ 975 juta kepada sebuah konsortium bank yang diterajui oleh Deutsche Bank yang menuntut pembayaran balik lebih awal.
IPIC juga menanggung kewajipan untuk membayar semua faedah hasil terbitan bon AS$3.5 bilion bon 1MDB.
Ia akhirnya juga bertanggungjawab untuk membayar balik keseluruhan jumlah bon AS$3.5 bilion itu serta melupuskan hutang tertentu 1MDB kepada IPIC.
Semua ini adalah sebagai pertukaran untuk aset 1MDB yang sama nilainya pada 30 Jun 2016.
1MDB sebelum ini berkata, perjanjian menyelamat itu akan menyaksikan hutang syarikat pelaburan negara itu dikurangkan sebanyak RM16 bilion.
No comments:
Post a Comment