[ULASAN] "Kami
sudah memaklumkan kepada pimpinan nasional PKR bahawa kami tidak boleh
menerima keputusan yang dibuat di peringkat nasional mengenai pengagihan
kerusi,” kata Baru Bian, pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak.
Lantang
dan berani nadanya. Malah beliau juga menegaskan bahawa PKR Sarawak
menolak keputusan rundingan pemimpin PKR dan DAP peringkat nasional itu
“kerana ia bertentangan dengan mandat PKR Sarawak”.
Justeru keputusan diambil untuk memulau hasil rundingan itu kerana PKR
Sarawak mempunyai kuasa veto untuk menolak keputusan pimpinan nasional
jika ia tidak selari dengan kehendak pimpinan di peringkat negeri.
"Demi menegakkan kewibawaan majlis presiden PKR negeri…kami membuat keputusan untuk menggunakan kuasa veto kami,” kata beliau.
PKR dan DAP Sarawak sebelum ini dilaporkan masih bertelagah mengenai
pengagihan kerusi untuk Pilihanraya Negeri (PRN) itu serta dalam isu
kerjasama dengan PAS.
Awal minggu lalu, kepimpinan DAP dan PKR peringkat nasional
bermesyuarat untuk memuktamadkan pengagihan keerusi yang akan ditandingi
kedua-dua parti yang bersekutu dalam Pakatan Harapan itu.
Pada mesyuarat berkenaan, Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan segala pertindihan mengenai
kerusi DUN Sarawak antara PKR, DAP dan PAN sudah diselesaikan.
Bagaimanapun Khamis lalu Baru Bian membuat keputusan mengejutkan itu
dan sekaligus membuka kemungkinan calon-calon PKR akan menentang calon
DAP di beberapa kerusi DUN pada PRN berkenaan.
Baru Bian menegaskan pihaknya tidak akan terikat dengan ketetapan untuk
bertanding di hanya 40 kerusi sebagaimana yang diputuskan sebelum ini.
Beliau
menegaskan PKR dan DAP masih mempunyai pertindihan mengenai parti mana
harus menentang Barisan Nasional di empat atau lima kerusi DUN.
Maka bermulalah musim pemimpin-pemimpin PKR memujuk PKR Sarawak dengan
mengatakan bahawa rundingan dengan DAP itu belum muktamad. Bagaimanapun
DAP awal-awal lagi keputusan itu sudah rasmi.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP mencapai persetujuan
pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak selepas
pembincangan dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.
“Setahu saya, berkaitan dengan pembahagian kerusi, DAP dan PKR di
peringkat pusat sudah bersetuju,” Guan Eng memberitahu sidang media di
ibu pejabat DAP.
Katanya, persetujuan itu dicapai dalam perbincangannya dengan Azmin pada Khamis lalu.
“Persetujuan ini dicapai di antara seorang menteri besar dan seorang
ketua menteri dan kami berdua bersetuju dengan pembahagian kerusi itu.
“Kami merasakan perkara ini tidak seharusnya dipertikaikan. Tetapi
dalam politik perkara begini akan wujud dalam setiap parti dan ia adalah
perkara biasa,” tambahnya.
Persoalannya apa sudah jadi dengan protokol dan kewibawaan pimpinan
pusat PKR? Bukankah PRN ini akan menentukan siapakah yang akan
memerintah Sarawak untuk lima tahun akan datang?
Ke manakah perginya Pengarah Pilihanraya PKR, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail? Mengapakah keputusan yang dibuat oleh PKR nampaknya agak
bercelaru dan jauh daripada protokol lazim?
Benarkah pimpinan PKR negeri mempunyai kuasa veto untuk menolak
keputusan pimpinan Pusat? Atau, adakah keistimewaan ini hanya berlaku
pada PKR Sarawak sahaja?
Adakah kecelaruan ini membayangkan bahawa ada jurang atau masalah komunikasi di kalangan pucuk pimpinan PKR?
Jika Presiden sudah mengisytiharkan rundingan dengan DAP sudah tamat
dan diperakui oleh Timbalannya, apakah lagi masalahnya? Adakah tindakan
Baru Bian dan geng PKR Sarawak ini sebenarnya mahu memberontak?
Atau, adakah selama ini pimpinan Pusat PKR memang kerap bertindak semberono dan tidak menghiraukan pandangan pimpinan negeri?
Agak ngeri jika dibayangkan PKR dan sekutunya berjaya merampas Sarawak
daripada BN. Dengan hubungan yang renggang dan tegang sebegini bagaimana
rakyat Sarawak boleh menikmati perubahan politik di negeri itu?
Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata
berdasarkan rundingan dengan PKR awal minggu ini, DAP Sarawak memutuskan
akan bertanding di 29 kerusi pada PRN nanti.
"DAP akan berpegang dengan apa yang telah dipersetujui. Sekiranya PKR
tidak berpegang pada kata-katanya, akan berlaku pertandingan tiga
penjuru," katanya.
DAP mengatur untuk mengumumkan senarai calonnya pada 20 April ini.
Beliau berkata, 29 kerusi DUN yang akan ditandingi DAP itu merangkumi
15 kerusi majoriti pengundi Dayak, 13 kerusi majoriti Cina dan satu
kerusi di kawasan majoriti kaum Melayu.
Untuk rekod, pada pilihan raya negeri 2011, DAP bertanding di 15
kawasan dan menang 12 daripadanya, manakala PKR bertanding 49 kerusi dan
menang hanya tiga sahaja.
Bagaimanapun
PKR pusat akan terus berbincang dengan kepimpinan PKR Sarawak bersabit
isu pengagihan kerusi PRN, kata Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin
Badaruddin.
Katanya, proses perbincangan dan rundingan akan tetap diteruskan selagi mana belum tiba tarikh penamaan calon.
"Cuma ada beberapa perkara dan kawasan bertindih yang mungkin PKR
Sarawak merasakan mereka lama berada di situ (kawasan) dan kemudian
tidak diberi pertimbangan. Itu isunya,” katanya.
Bagaimanapun Shaharuddin menegaskan, kepimpinan peringkat negeri perlu
menghormati keputusan parti di peringkat pusat selepas perbincangan
dimuktamadkan.
"Kita mengamalkan demokrasi. Jadi semua orang bebas untuk menyatakan
peringatan mereka. Tapi akhirnya peringkat pusat yang akan buat
keputusan walaupun peringkat negeri ada autonomi tersendiri tapi
hubungan antara pusat dengan negeri perlu dipertautkan.
"Kita menghormati negeri tapi dalam waktu yang sama negeri juga perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pusat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan