Seorang peniaga peralatan mandi di kawasan peranginan Teluk Senangin di Segarai dekat Lumut meninggal dunia selepas gerainya dihempap pokok tengah hari semalam.
Normadiah Adrus, 54, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah dalam kejadian 12 tengah hari itu, tiga buah gerai termasuk milik mangsa serta sebuah pacuan empat roda dihempap pokok itu.
Suami mangsa Sabri Hamid, 60, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Manjung berkata semasa kejadian beliau berada di tepi pantai sebelum terdengar dentuman kuat.
"Saya bergegas mencari isteri saya dengan menjerit namanya, namun tidak dibalas dan membuatkan saya panik.
"Kejadian berlaku selepas hujan renyai berhenti dan pokok berkenaan yang berada di belakang gerai kelihatan amat reput," katanya yang telah berniaga di kawasan berkenaan sejak tiga tahun lepas.
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Abd Latif Ahmad Nawawi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.04 tengah hari sebelum sepasukan anggota digegas ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba kami mendapati mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam. Kami kemudian memotong balak itu," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment