Saturday, April 23, 2016

El Nino jejas pelbagai sektor di Malaysia

MALAYSIAKINI




Cuaca panas yang melanda negara berikutan fenomena El-Nino sejak awal Januari lepas memberi impak kepada pelbagai sektor di seluruh negara.

Cuaca panas itu turut menyebabkan takungan air di empangan seluruh negara semakin menyusut.

Pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau hari ini, yang menjangkakan negara mengalami masalah bekalan air sehingga September akibat perubahan angin monsun Barat Daya, mengundang kerisauan pelbagai pihak.

Keadaan itu memaksa pelbagai sektor seperti pertanian, pelancongan, pertahanan dan kesihatan mengambil pelbagai inisiatif bagi menghadapi fenomena berkenaan.

Di KANGAR, Perlis, paras air di Empangan Timah Tasoh masih berada pada tahap kritikal iaitu 26.21 meter sehingga memaksa Syarikat Bekalan Air Perlis (SAP) meneruskan catuan air sehingga bulan depan.

Di KOTA BHARU, Kelantan, cuaca panas menyebabkan paras air Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand di Kelantan juga dilaporkan semakin susut sehingga membolehkan orang ramai melintasi sungai itu dengan mudah.

Keadaan itu menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertingkatkan lagi kawalan di sempadan berkenaan dengan melakukan rondaan lebih kerap bagi menangani pencerobohan secara haram.

Di BUTTERWORTH, Pulau Pinang, seramai 3,935 pesawah di Seberang Perai Utara mengambil inisiatif menggunakan kaedah serak kering untuk menanam padi selepas terjejas akibat El-Nino.

Kaedah itu akan dimulakan pada 10 Mei ini melibatkan 6,731 hektar sawah yang memerlukan benih padi ditabur di kawasan tanah yang kurang berair untuk dibiarkan tumbuh.

Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan Bernama mendapati taman tema air di Rembau dan pusat rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah serta pantai peranginan di Port Dickson kurang dikunjungi pengunjung akibat cuaca panas melampau ketika ini.

Pengurus Wet World Air Panas Pedas Resort di Rembau Khairul Anwar berkata El-Nino menyebabkan kehadiran pengunjung ke taman tema air itu semakin berkurangan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini.

"Memang pendapatan kita merosot akibat El-Nino. Kita sekarang dalam perancangan untuk membina lebih banyak kawasan teduhan ekoran permintaan pengunjung bagi kemudahan akan datang," katanya.

Di TAIPING, Perak pula cuaca panas menyebabkan Pulau Orang Utan di Bukit Merah, Bagan Serai ditutup selama dua minggu kepada pengunjung sejak 11 April lalu hingga sekarang.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pulau Orang Utan Dr. D. Sabapathy berkata penutupan itu disebabkan pengangkutan bot tidak boleh dijalankan kerana air di Empangan Tasik Bukit Merah terlalu cetek untuk dilalui.

Beliau berkata sebelum ini terdapat tiga bot yang menjalankan perkhidmatan ke pulau itu namun kini, pihaknya menggunakan kayak untuk memberi makanan dan mengawasi orang utan di pulau berkenaan.
- Bernama


No comments: