Rabu, 20 April 2016

Penganalisis ramal harga minyak naik AS$80 pada 2018

MALAYSIAKINI




Harga minyak akan naik kepada AS$80 (US$1=RM3.87) setong pada 2018 dan sehingga AS$105 setong menjelang 2020, satu ramalan kes asas oleh Jarand Rystad, pakar mengenai analisis makro minyak global.

"Sekarang adalah 'masa untuk oportunis' dan mereka yang mempunyai poket tebal serta pemegang saham yang bersedia mengorbankan dividen jangka pendek. Mereka berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkannya," kata Rakan Kongsi Urusan Rystad Energy, firma perundingan tenaga yang berpangkalan di Norway.

Rystad berkata, kelembapan ketika ini adalah disebabkan lebihan penawaran yang sementara, bukannya peralihan struktur dalam permintaan ke atas minyak.

"Walaupun anda membuat ramalan yang sangat agresif ke atas trend semasa seperti kereta elektrik, LNG (gas asli cecair) perkapalan serta tenaga alternatif, ia tidak memberi kesan struktur yang bermakna ke atas industri minyak untuk 10 hingga 20 tahun lagi," katanya.

Rystad yang menyampaikan ucaptama pada Forum Marin Luar Pesisir pada Selasa juga menasihatkan industri itu agar tidak terus mengurangkan sumber bagi mengelak terlepas pelbagai peluang jika harga bahan itu kembali pulih.

"Sebanyak 400 syarikat teratas telah mengurangkan 250,000 pekerja tahun lepas dan akan mengurangkan 250,000 lagi menjelang akhir tahun ini. Ia merupakan pengurangan pekerja terbesar bagi rantaian nilai perkhidmatan minyak dalam sejarah.

"Keadaan ini membimbangkan kerana ia akan menyebabkan inflasi kos yang tinggi mulai 2018 ke atas apabila pasaran pulih," katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin industri pada forum berkenaan berkata, syarikat perlu bersedia mengambil kesempatan daripada pemulihan harga minyak, dengan seorang pakar meramalkan harga akan pulih mulai Oktober.

Antara pemimpin yang terlibat dalam panel forum itu ialah Yew Yuen Chow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Keppel Offshore & Marine; Ron Mathison, Pengarah Urusan (MD) Swire Pacific Offshore; Geir Sjurseth, MD DVB Bank SE dan Carl K. Arnet, CEO BW Offshore.

Mereka bersetuju dengan ramalan kenaikan harga minyak itu dan menyatakan yang harga AS$50 hingga AS$60 setong adalah titik pulang modal realistik untuk projek penggerudian luar pesisir.- Bernama


Tiada ulasan: