Wednesday, April 20, 2016

Pas desak Zeti dilanjutkan kontrak hingga selesai isu 1MDB

MALAYSIA DATELINE


Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim Tuan ManPas mendesak agar Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz diberikan lanjutan kontrak bagi memenuhi hasratnya melihat isu 1MDB diselesaikan sebelum beliau bersara jika tiada pengganti yang sesuai belum dapat disepakati oleh kerajaan.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat masih menanti jaminan Perdana Menteri bahawa Bank Negara akan bebas dari campurtangan ahli politik.

"Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.

"Peringatan Tan Sri Zeti bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik perlu diambil serius. Kerajaan wajib melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM lebih-lebih lagi tangan-tangan ghaib yang cuba menutup isu 1MDB," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan terbaru terhadap 1MDB, kehilangan RM14 bilion milik 1MDB yang dibayar kepada Aabar Investments PJS Limited, sebuah syarikat didaftarkan di British Virgin Islands namun dinafikan pertaliannya oleh International Petroleum Investment Company atau IPIC.

Justeru ujarnya lagi, rakyat masih tertunggu-tunggu siapakah yang bakal menggantikan Tan Sri Dr Zeti.

"Bulan April sudah hampir penghujungnya, nampaknya hasrat Tan Sri Zeti untuk mengambil ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang sejumlah USD$1.83 bilion yang berada di luar negara semakin malap atau tiada sebarang bunyi kedengaran daripada Peguam Negara.

"Bukan itu sahaja, hasrat beliau untuk melihat isu 1MDB selesai sebelum bersara nampaknya susah kesampaian.

"Pengganti beliau kelak dijangka akan terus memikul tugas menyelesaikan masalah 1MDB.

"Oleh itu, pengganti beliau mestilah dari kalangan-kalangan yang berwibawa, bebas dari pengaruh politik, berani, tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti," ujarnya.

Pas mengulangi pendirian parti itu sebelum ini bahawa mereka yang pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon gabenor BNM yang baru.

Pas berpandangan BNM adalah satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Sebagai rekod pada 23 Febuari lalu Zeti berharap siasatan terhadap 1MDB dapat diselesaikan sebelum beliau bersara pada April. Tumpuannya terarah kepada menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB sebelum menyerahkan tugasan sebagai gabenor bank pusat itu kepada penggantinya.

Pada Mac lalu tersebar beberapa nama calon yang bakal mengantikan beliau. Calon yang disebut-sebut adalah tiga Timbalan Gabenor Bank Negara iaitu Datuk Muhammad Ibrahim, Datuk Nor Shamsiah Yunus dan Dr. Sukudhev Singh.

Manakala tiga calon luar yang disebut adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Siregar Abdullah dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Husin.

No comments: