MALAYSIA DATELINE
Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail perlu mengambil tindakan segera terhadap pemimpin parti yang
dipercayai "mengkhianati" kemahuan rakyat untuk melakukan perubahan
apabila bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Satu sidang media bersama diadakan petang tadi dianggotai kumpulan
aktivis Otai Reformasi, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pahlawan,
dan beberapa aktivis individu begitu mengkritik peranan Dr Mahathir
dalam gerakan rakyat Selamatkan Malaysia.
Kumpulan desakan ini secara bersama mahu penggantungan jawatan
Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin
Ali, dua Naib Presiden parti itu Rafizi Ramli dan Chua Tian Chang.
Ini memandangkan mereka dipercayai telah mengkhianati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perjuangan reformasi.
Aktivis sosial Abdul Razak Ismail yang merupakan sebahagian daripada
sekumpulan aktivis yang menggelarkan diri mereka Otai Reformasi menuntut
Azmin, Rafizi dan Tian Chua digantung daripada jawatan mereka.
"Apabila kita melihat pemimpin PKR bekerjasama dengan Dr Mahathir
dan mereka seperti acuh tidak acuh, ia adalah satu bentuk pengkhianatan
dan sabotaj terhadap Presiden PKR.
"Saya menggesa Datuk Seri Wan Azizah sebagai presiden parti,
mengambil tindakan dengan menggantung jawatan Azmin Ali, Rafizi Ramli
dan Tian Chua kerana mengkhianati perjuangan," kata ahli DAP ini.
Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin memberi amaran aktivis dan
kumpulan politik yang bekerjasama dengan Dr Mahathir mendakwa Mahathir
hanya bermain sentimen rakyat terhadap perubahan dalam sistem untuk
memenuhi agenda sendiri.
"Berapa lama negara perlu terus berada dalam konflik atas kehendak politik Mahathir?
"Negara kini di ambang perubahan, dan membenarkan mood rakyat yang
akan digunakan oleh Mahathir hanya akan menyebabkan ia gagal," kata
Badrul Hisham.
Dr Mahathir, bersama-sama dengan ahli-ahli politik dari kedua-dua
pihak dan masyarakat sivil telah melancarkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac
lalu untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd
Najib Razak melalui gerakan rakyat Selamatkan Malaysia dan merancang
untuk menganjurkan ceramah bergerak di seluruh negara untuk mendapat
sokongan rakyat.
Bagaimanapun Dr Wan Azizah baru-baru ini dilaporkan Malay Mail Online
serangan terus Dr Mahathir terhadap suaminya yang juga bekas ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebab utama mengapa beliau
tidak mahu menjadi sebahagian daripada usaha dilakukan gerakan
Selamatkan Malaysia.
No comments:
Post a Comment