Khamis, 7 April 2016

ORANG JOHOR TENTU TAHU SIAPA YANG PALING BERANGAN NAK JADI MB

 shahbudindotcom

 

 
 
Apabila tiba-tiba timbul desas-desus mengenai usaha menyingkirkan Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor, ramai yang tidak begitu terkejut dengan perkhabaran itu, apatah lagi ia dikatakan diketuai oleh seorang yang berjawatan timbalan menteri.

Ini kerana di sebalik Khaled  agak "slow" dalam memperlihatkan sokongannya kepada Najib Razak, timbalan menteri yang mengidam jawatan itu juga bukanlah rahsia lagi di kalangan orang-orang Johor.

Tambahan lagi yang menimbulkan isu tersebut ialah anak Speaker DUN Johor, Mohamed Aziz yang tentunya beliau tidaklah "omong kosong" saja mengenai perkara itu.

Sekarang ini ada enam timbalan menteri UMNO daripada Johor iaitu:-

- Ahmad Maslan
- Razali Ibrahim
- Aziz Kaprawi
- Hamim Samuri
- Nur Jazlan Mohamed
- Halimah Saddique 

Jadi, siapakah di antara enam nama di atas yang paling mungkin berpotensi mengetuai gerakan itu?

Tetapi, politik Johor mungkin agak berbeza dengan negeri-negeri lain. Menukar Menteri Besar di Johor tidak cukup sekadar dengan restu Perdana Menteri atau hanya dengan mencukupkan bilangan sokongan ADUN atau Ketua-Ketua UMNO bahagian saja kerana faktor istana adalah juga penentu pentingnya.

Sehingga ini Khaled mempunyai hubungan yang cukup baik dengan istana dan tidak pernah timbul apa-apa masalah, malah beliau juga adalah rakan sekolah dengan Sultan Johor suatu ketika dahulu.

Hubungan Khaled dengan Najib pula tidak pula boleh disamakan dengan kedudukan Mukhriz di Kedah yang berjaya ditumbangkan baru-baru ini.

Lantaran itu, menukar Khaled sebelum PRU 14, boleh jadi terlalu sukar dan dikira mustahil, lebih-lebih lagi jika pihak istana tidak merestuinya.

Tambahan lagi, di kalangan Adun Johor sedia ada tiada yang terlebih ghairah mahu merampas kedudukan Khaled itu.

Namun, jika gerakan itu itu berujuan memastikan Khaled ditukar selepas PRU 14 dan mahukan timbalan menteri yang mengetuai gerakan itu sebagai penggantinya, ia tidaklah dilihat sesuatu yang asing.

Ia mungkin sebahagian langkah "usaha tangga kejayaan" dalam mencapai sesuatu yang diidam-idamkan dalam kehidupan oleh timbalan menteri berkenaan.

Maknanya, mereka boleh berusaha dan mewujudkan gerakan ke arahnya, menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada banyak perkara selepas itu.

Antaranya, apakah Najib masih kekal sebagai Perdana Menteri, penerimaan istana serta bolehkah UMNO terus berkuasa di negeri itu?

Dan di kalangan enam timbalan menteri tersebut, ramai orang Johor sendiri tahu siapakah yang paling mengidam dan berangan-angan untuk menjadi Menteri Besar selama ini.

Timbalan menteri berkenaan dikatakan selalu menonjolkan hubungannya yang lama dan rapat dengan Najib sebagai asas untuk memimpin negeri itu.

Seorang pemimpin bahagian Johor berkata, jika daripada sekarang lagi sudah wujud perebutan untuk menjadi Menteri Besar, ini hanya akan menyebabkan lebih mudah UMNO kecundang memandangkan pihak pembangkang sudah pun mempunyai 18 kerusi sehingga ini.


Tiada ulasan: