Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
SHAH ALAM: PKR Sarawak kekal dengan pendirian bersabit lima kerusinya, sekaligus menolak pengagihan yang dibuat oleh pimpinan nasional Pakatan Harapan (PH), tegas Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.
Baru memberitahu pihaknya tidak akan berganjak dengan pendirian sebelum
ini meskipun diminta menghormati keputusan yang dibuat pimpinan pusat
PKR dan DAP.
Pemimpin negeri itu semalam mempertahankan lima kerusi milik PKR yang
diintai rakan komponennya, DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7
Mei depan.
"Saya tidak ada komen. Maaf, saya tidak mahu terus berhujah. Kita fokus kepada pilihan raya.
"Mereka kata terbuka kepada rundingan, biarkan mereka berunding. Kita
sudah buat pendirian yang jelas, mereka patut tahu pendirian kita,"
katanya kepada Antarapos, hari ini.
Semalam, Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meminta PKR
Sarawak menghormati keputusan parti di peringkat pusat berhubung
pengagihan kerusi antara parti itu dan DAP.
Shaharuddin berkata PKR Pusat bagaimanapun menghormati pendirian PKR negeri.
Justeru, PKR Pusat akan meneruskan perbincangan dan mencapai kata sepakat dengan DAP sebelum tarikh penamaan calon.
Kepimpinan PKR menerima tamparan apabila Baru tampil dan meluahkan rasa
tidak puas hati terhadap hasil rundingan kepimpinan nasional PH
berhubung pengagihan kerusi yang menyaksikan lima kerusi milik parti itu
bertindih dengan kerusi yang diingini DAP.
Baru juga mengugut untuk menggunakan kuasa veto PKR negeri untuk menolak keputusan pimpinan nasional PH.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberitahu agihan kerusi
membabitkan PKR dan DAP dipersetujui olehnya dan Timbalan Presiden PKR,
Datuk Seri Azmin Ali.
Sementara itu, pemimpin DAP Sarawak, Chong Chieng Jien tidak menolak
akan wujud pertandingan tiga penjuru jika PKR enggan memberi laluan
kepada DAP.
DAP pada PRN kali ini mengumumkan akan bertanding di 29 kerusi.
Kerusi tersebut adalah Tasik Biru, Padungan, Pending, Kota Sentosa,
Batu Kawah, Mambong, Kedup, Bukit Semuja, Simanggang, Repok dan
Meradong, Pakan, Ngemah, Bukit Assek,Dudong, Bawang Assan, Pelawan,
Pelagis, Katibas, Baleh, Murum, Tanjong Batu, Kemena, Samalaju, Piasau,
Pujut, Senadin, Mulu, dan Stakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan