Sabtu, 2 April 2016

Najib 'disabit' kesalahan dalam perbicaraan media

SINAR HARIAN


Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media bersama wartawan Malaysia berkaitan Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Asean yang berakhir Selasa. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak  berdepan dengan ketidakadilan melampau apabila 'disabitkan' kesalahan dalam mahkamah pendapat umum menerusi perbicaraan secara tidak adil melalui media tanpa berdasarkan bukti tetapi dakwaan semata-mata.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, dalam catatan terbaru di blognya, berkata mereka yang memfitnah perdana menteri perlu memohon maaf kepadanya.

"Yang sememangnya, kita tahu ini tidak akan berlaku," katanya.

Sejak kononnya pendedahan oleh Wall Street Journal (WSJ) dengan tajuk utama "Investigators believe money flowed to Malaysian leader Najib’s accounts amid 1MDB probe," (Penyiasat percaya wang disalurkan ke akaun Najib semasa siasatan 1MDB), katanya, perdana menteri berdepan dengan serangan oleh media tempatan dan asing serta blogger.

"Ia adalah satu perbicaraan media dan akibat serangan media, Najib telah didakwa dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum.

"Beliau dianggap bersalah melainkan jika dapat membuktikan beliau tidak bersalah seperti apa yang dikatakan secara tepat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri)," katanya.

Pada 2 Julai 2015, WSJ menyiarkan laporan dengan mendakwa Najib telah mencuri dana 1MDB berjumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dan telah memindahkan wang itu ke akaun peribadinya, yang telah mendorong Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu.

Salleh, bagaimanapun, berkata mengikut apa yang dikatakan oleh WSJ, siasatan itu telah bermula sebelum 2 Julai 2015 dan bukan hasil pendedahan oleh akhbar itu.

"WSJ mengesahkan bahawa ia memiliki dokumen-dokumen berkaitan siasatan (bermakna siasatan sudah dimulakan sebelum 2 Julai 2015 sekiranya sudah ada dokumen-dokumen berkaitan siasatan).

"Ini dengan sendirinya sangat mencurigakan kerana WSJ berkata laporannya pada 2 Julai 2015 adalah berdasarkan siasatan manakala kenyataan rasmi Pasukan Petugas Khas menyebut badan itu ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan WSJ.

"Jadi apa yang keluar terlebih terdahulu?. Jika laporan WSJ disiarkan  dahulu dan kemudian Pasukan Petugas Khas ditubuhkan seperti apa yang dimaklumkan...ini bermakna WSJ telah diberi dokumen-dokumen yang tidak berdasarkan sebarang siasatan tetapi disediakan untuk memfitnah perdana menteri," katanya.

Salleh menegaskan pada 4 Julai 2015, Peguam Negara berkata bahawa beliau baru menerima dokumen-dokumen berhubung siasatan itu dan pada 8 Julai 2015, ia telah diumumkan bahawa sebuah Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Jadi di mana WSJ mendapat buktinya dan merujuk kepada siasatan mana?," katanya, sambil menambah pada masa itu rakyat Malaysia sepatutnya mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Merujuk kepada laporan WSJ menyebut ketidakpastian sumber asal jumlah wang itu dan bagaimana ia dibelanjakan, Salleh percaya akhbar itu sebenarnya tidak jelas mengenai isu keseluruhan tetapi kerana cara laporan itu ditulis, ia nampak seolah-olah satu jenayah telah dilakukan.

"Pendek kata, WSJ berkata ia tidak benar-benar tahu apa yang telah berlaku tetapi kemudian laporan seterusnya dan juga laporan-laoporan daripada orang lain memberi gambaran bahawa ia tahu dengan tepat apa yang berlaku," kataya.

Bercanggah dengan laporan sebelum ini, Salleh berkata, WSJ kini berkata wang itu bukan daripada 1MDB tetapi sumbangan daripada sumber-sumber dari Asia Barat, yang nampaknya juga menjadi asas kepada dokumentari khas 'Four Corners' oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC), baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir tidak lagi bercakap mengenai wang yang 'dicuri' itu tetapi derma dan bekas perdana menteri itu mengalihkan isu itu dari mana wang itu datang kepada bagaimana wang itu dibelanjakan. - Bernama


Tiada ulasan: