KOTA KINABALU: Malaysia akan menghubungi kerajaan Filipina berhubung
kes penculikan empat rakyat Malaysia semalam, kata Menteri Luar Datuk
Seri Anifah Aman.
Beliau berkata ini akan dilakukan setelah pihaknya mendapat maklumat
sahih dan terperinci mengenai kejadian itu daripada pihak berkuasa
berkenaan.
"Kemudian, barulah kita fikir, apakah kerjasama yang perlu dilakukan
antara Malaysia dan kerajaan Filipina supaya mangsa diculik dapat dibawa
pulang dengan selamat," katanya mengulas kejadian berkenaan.
Anifah ditemui pemberita pada majlis keraian 'Post-Sabah Earthquake -
'Thank You' dihos oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di
sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar agar digantung serta merta segala bentuk hubungan
perniagaan antara Sabah dengan Selatan Filipina.
Menurut cadangan itu, langkah itu termasuk menggantung pembekalan barang keperluan ke selatan negara itu.
Anifah berkata cadangan itu perlu dilihat jika ia mampu menjadi antara
langkah terbaik mengurangkan kes penculikan yang sering berlaku di
negeri ini.
Ujarnya, perniagaan memang penting namun nyawa melebihi kepentingannya
sambil menambah, Malaysia memandang serius kes penculikan termasuk
jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di perairan Sabah.
"Apabila ia melibatkan nyawa, kita (Malaysia) ambil serius dan saya
tahu kerajaan Pusat begitu prihatin tentang (keselamatan) Sabah.
"Namun, perairan (Sabah) luas, agak sukar untuk menjaga dan mengawal satu atau dua kapal masuk.
"Justeru, kita minta supaya mereka (kerajaan Pusat) lebih melihat
keadaan itu termasuk mencari kaedah memberhentikan kegiatan culik ini,"
katanya.
Semalam, empat warga negara Malaysia berumur 21 hingga 34 tahun dari
kumpulan sembilan kru kapal tunda, diculik sekumpulan individu ketika
sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.
Bagaimanapun kumpulan penculik itu melepaskan lima individu lain yang terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia.
No comments:
Post a Comment