Ahad, 17 April 2016

MAAFLAH ZAHID, RAKYAT BELUM MAHU MELETAKKAN TITIK NOKTAH LAGI...

 shahbudindotcom

 

 
 
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak menerima penjelasan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al Jubeir mengenai derma RM2,600 juta serta menjadikannya satu titik noktah.

"Saya fikir, mesti berjiwa besar menerima penjelasan dan hakikat ini...siapa pun, mantan Perdana Menteri sekali pun terimalah hakikat bahawa penjelasan ini adalah suatu titik noktah," katanya.

Macam merayu-rayu bunyinya nada Zahid kali ini...

Malangnya Zahid, terlalu sedikit yang dapat menerima dan mempercayai penjelasan Adel Al Jubeir mengenai wang yang diterima Najib itu.

Bagi Tun Mahathir,  sebagaimana yang disebutnya semalam, bercakap saja tidak memadai dan ia mestilah disertakan dengan bukti-buktinya sekali.

Iyalah, pindahkan wang RM10 pun ada resitnya, inikan pula ribu-ribu juta jumlahnya!!

Di kalangan rakyat pula, kata-kata Menteri Luar Arab Saudi itu lebih menjadi bahan ketawa dan persendaan semata-mata. Beliau dijadikan bahan persendaan bukan saja kerana sebelum ini pernah mengatakan wang itu adalah pelaburan,  tetapi juga kerana logik kata-katanya hampir tidak ada sama sekali untuk dipercayai.

Di media sosial, kedai kopi, dalam perbualan telefon, borak-borak dengan kawan dan saudara-mara atau apa saja medium interaksi sesama manusia di seluruh penjuru negara dalam sehari dua ini, terlalu sedikit yang dapat mempercayai wang yang diterima Najib itu benar-benar sebagai derma.

Secara umumnya boleh dikatakan, dalam sepuluh orang, barangkali  tujuh atau lapan masih tidak mempercayai, sama ada Najib mahu pun Adel Al Jubeir, berhubung isu wang yang menjadi bahan sensasi di seluruh dunia itu.

Maaflah Zahid, segala-galanya belum ada titik noktahnya lagi...


Tiada ulasan: