Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
berkata Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan lebih separuh kerusi
pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Mei depan.
Seperti yang dilaporkan oleh Pengarah PRN Sarawak Nurul Izzah Anwar,
Azmin berkata kesemua kerusi tersebut bertanding tiket di bawah PH, dan
perebutan kerusi antara PH dan PAS masih dalam perbincangan yang
dikendalikan PKR.
"Lebih 50 peratus kerusi (Pakatan Harapan) sudah diselesaikan, itu apa
yang Nurul Izzah selaku pengarah PRN Sarawak lapor kepada saya pagi ini.
Dia beritahu bahawa lebih 50 peratus kerusi sudah diselesaikan.
"Ada beberapa kerusi lagi yang masih dibelenggu isu perebutan. Beliau
akan berjumpa Setiausaha DAP, Lim Guan Eng tidak lama lagi untuk
menyelesaikan pertindihan kerusi berkenaan," kata Azmin di lobi
Parlimen.
Ditanya samada akan berlaku pertindihan calon antara PH dan PAS di 11
kerusi yang akan ditandingi parti Islam itu, jelas Azmin, perkara itu
akan dielakkan supaya tidak memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional
(BN).
"PAS masih kekal dengan PKR sudah tentu kita mahu melihat matlamat sama
dicapai. Kita cuba elakkanlah. Kita akan cuba elakkan sebaik mungkin,"
katanya.
PAS sebelum ini bertegas untuk bertanding di 11 kerusi di PRN Sarawak
seperti mana yang diputuskan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Malah Parti Amanah Negara (PAN) turut mengumumkan akan bertanding di 13 kerusi di pilihanraya negeri berkenaan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub di mana
parti itu sudah mengenal pasti calon yang akan diketengahkan yang
terdiri daripada anak tempatan dan kawasan bakal ditandingi parti itu
termasuk di bandar serta luar bandar.
Malah Salahuddin berkata PAN tidak menolak akan bertanding di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi PAS.
"Kita kena bincang semualah. Sudah dimuktamadkan?) Belum lagi, masih dalam perbincangan.
"Itu harapan PAN untuk bertanding, itu hak mereka untuk menawarkan
khidmat di kawasan berkenaan tapi bagi PH saya percaya kita akan
teruskan perbincangan supaya matlamat satu lawan satu itu dapat
dipertahankan," jelas Azmin.
Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
berkata Majlis Presiden akan mengadakan mesyuarat malam ini untuk
memuktamadkan senarai nama calon PRN Sarawak namun ditangguhkan selepas
DUN Sarawak dibubarkan 11 April depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan