Rabu, 20 April 2016

Kyra ditemui selamat

 
Kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, manakala wanita Indonesia tersebut ditahan


Kyra_polis_600_1


PETALING JAYA: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai dilarikan seorang wanita warga Indonesia, ditemui selamat pada malam Selasa.

Puteri NurKyra Izam bersama wanita terbabit ditemui ahli kariah Masjid Al Rahman di Jalan Pantai Baharu, pada jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari yang dipetik Harian Metro berkata, wanita berkenaan kini dalam tahanan polis, manakala kanak-kanak itu pula telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Jelasnya, permohonan reman wanita itu akan dibuat hari ini.

Menurut bapa mangsa, Badrol-Izam Baharom, 46, beliau hanya menyedari anaknya yang menghadapi masalah disleksia, hilang bersama wanita berusia 20-an yang dikenali sebagai Azizah itu, pada jam 5 pagi semalam dan menemui sekeping nota ditinggalkan anaknya.

“Anak saya meninggalkan sekeping nota memaklumkan dia mahu ikut perempuan Indonesia itu.

“Bagaimanapun, saya percaya wanita itu yang mengajar anak saya membuat nota berkenaan sebelum melarikannya,” katanya kepada Harian Metro, petang semalam.

Sementara itu, Mohammad Azlin menjelaskan, wanita Indonesia itu telah menumpang di rumah Badrol-Izam sejak dua minggu lalu.

“Wanita itu mendakwa dia melarikan diri daripada majikannya,” katanya sambil menambah, ibu bapa kanak-kanak itu menemui wanita terbabit bersendirian di stesen bas berhampiran Pusat Beli-belah Subang Parade, pada 5 April lalu.

Mereka kemudiannya membenarkan wanita itu menumpang di rumah mereka buat sementara dan bercadang menghantarnya ke Kedutaan Indonesia, semalam.

Berita kehilangan Kyra tersebar dan menjadi bualan warga maya di Facebook, selepas ibu saudaranya memuat naik gambar mangsa dan status mengenai kehilangannya dari rumahnya di SS19, Subang Jaya, awal pagi semalam.

Tiada ulasan: