Wednesday, April 20, 2016

'Kewartawanan Dron' di kawasan bencana bantu liputan berita

Ahmad Sauffiyan Abu Hasan, Astro Awani
 
'Kewartawanan Dron' di kawasan bencana bantu liputan berita
Liputan berita untuk menggambarkan kawasan dilanda bencana seperti gempa bumi yang terjadi di Ecuador baru-baru ini boleh memanfaatkan penggunaan dron. - Gambar fail


LAPORAN berita pada 14 April 2016 melaporkan telah berlaku satu gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter di barat daya Jepun sekitar jam 9.26 malam. Gempa bumi ini telah menyebabkan sembilan kematian dan beratus yang lain cedera.

Seterusnya pada 16 April 2016, iaitu dua hari selepas gempa pertama, Jepun sekali lagi digemparkan dengan gempa bumi yang lebih kuat berukuran 7.3 magnitud di Kumamoto waktu awal pagi. Gempa terbaharu telah mengakibatkan 18 orang maut.

Kemudian, pada tarikh yang sama jam 6.58 petang di Equador, gempa bumi pada kedalaman 10 kilometer dikesan di arah barat laut pantai Ecuador. BBC News melaporkan 272 orang disahkan meninggal dunia dan 1,500 lagi cedera.

Kejadian gempa bumi ini jelas sekali telah menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, jalan raya dan perubahan struktur muka bumi kawasan yang terlibat. Lebih menyulitkan lagi apabila kawasan tersebut mengalami hujan lebat dan tanah runtuh yang membahayakan nyawa jika cuba memasukinya.

Walau bagaimanapun, tugas seorang wartawan yang perlu sentiasa mendapatkan maklumat tepat mengenai sesuatu insiden haruslah diteruskan.

Namun persoalannya, bagaimanakah seorang wartawan dapat membuat laporan mengenai kawasan bencana seperti gempa bumi tanpa membahayakan diri?

Jawapannya adalah dengan teknik drone journalism atau kewartawanan dron, yang bermaksud penggunaan pesawat tanpa pemandu untuk tujuan laporan berita.

Sebelum kita bercerita panjang mengenai kewartawanan dron, apakata kita imbas kembali peristiwa hitam sebelum kewujudan dron dan bagaimana seorang wartawan pada amnya membuat liputan berita.


Bencana gempa di Ecuador adalah salah satu contoh penyampaian maklumat visual dapat dibantu dengan penggunaan dron. - Gambar fail
Bencana gempa di Ecuador adalah salah satu contoh penyampaian maklumat visual dapat dibantu dengan penggunaan dron. - Gambar fail

Tragedi dengan helikopter

Pada tahun Oktober 1986, seorang wartawan dari WNBC AM Radio bernama Jane Dornacker maut apabila helikopter yang dinaiki mengalami kerosakan mekanikal dan terhempas di sungai Hudson.

Tragedi berlaku apabila helikopter yang dinaiki mula menjunam sebaik Jane Dornacker mula membuat liputan mengenai trafik di bandar New York. Laporan siasatan mendapati helikopter tersebut tidak diselenggara dengan baik dan ia menggunakan alat ganti yang tidak sesuai.

Dari insiden ini jelas penggunaan helikopter untuk membuat liputan berita bagi sebuah organisasi media tidak sesuai kerana ia melibatkan kos yang mahal dari segi penyelenggaran, risiko kerosakan mekanikal dan boleh membahayakan nyawa wartawan.

Namun hari ini, teknik membuat liputan berita dari udara berbeza sekali dengan adanya dron. Kini, laporan berita dikawasan bencana, trafik sesak dan sukar dimasuki boleh direalisasikan menggunakan dron  yang diterbangkan ke kawasan liputan dan merakam visual dan runut bunyi untuk tujuan pemberitaan.

Berbalik kepada tragedi gempa bumi yang berlaku baru-baru ini. Saya melihat peranan  kewartawanan dron dalam membuat liputan berita di kawasan bencana sangat diperlukan dan laporan berterusan mampu membuat penonton kekal mengikuti perkembangan terbaru mengenai sebarang tragedi.

Analisa muka bumi

Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk membuat analisa awal mengenai keadaan muka bumi yang telah berubah dan melaporkan langsung dari kawasan kejadian ke bilik berita dan seterusnya ke dalam media massa.

Pokoknya, kewartawanan dron  telah membuka dimensi baharu dalam dunia kewartawanan. Visual berita melalui kewartawanan dron boleh dinikmati dalam bentuk ‘pandangan mata burung’, iaitu satu pandangan dari atas ke bawah. Diiringi runut bunyi, laporan berita itu menjadi sesuatu  yang unik dan mampu menarik perhatian penonton.

Pada hemat saya juga, kewartawanan dron boleh digunakan oleh wartawan akhbar cetak, wartawan berita dalam talian, wartawan dari radio atau pun agensi berita dalam membuat liputan yang memerlukan visual terkini mengenai insiden atau tragedi semasa.

Walaupun di Malaysia budaya kewartawanan dron belum popular dan berkembang dalam kalangan organisasi media, saya yakin suatu hari nanti ia akan berubah mengikut keperluan semasa dan tertakluk kepada kelulusan perundangan dalam penggunaan dron dalam kalangan wartawan.

Masa depan gaya kewartawanan di malaysia boleh berubah dengan drastik dengan penggunaan dron. - Gambar fail
Masa depan gaya kewartawanan di malaysia boleh berubah dengan drastik dengan penggunaan dron. - Gambar fail

Inisiatif sendiri

Selain itu, saya juga tidak menolak ada dalam kalangan wartawan Malaysia yang telah mengambil inisiatif sendiri untuk menggunakan dron  untuk tujuan pemberitaan. Bagi wartawan luar negara pula, kewartawanan dron adalah trend yang dijangka berkembang seiring kemajuan teknologi yang lebih canggih dan murah dalam pembuatan dron.

Realiti penggunaan dron di Malaysia lebih tertumpu kepada organisasi keselamatan dan agensi kerajaan.

Contohnya, pada Ogos 14, 2015,  Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa polis telah menubuhkan unit dron di bawah Unit Udara PDRM.

Tujuan unit dron ini adalah untuk memantau situasi seperti perhimpunan haram dan rondaan di sekitar kawasan perumahan. Menurut Khalid lagi, buat masa ini segalanya masih diperingkat latihan pegawai dan perlesenan.

Saya berpendapat  kewartawanan dron penting bagi organisasi media membuat liputan ke kawasan-kawasan yang sukar ditembusi.
Tragedi yang tidak boleh dijangka seperti gempa bumi dan bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa dan apabila ia berlaku perkara pertama yang perlu dikongsi pada masyarakat adalah maklumat mengenai keadaan kawasan tersebut.

Wujudkan kerjasama

Selain dari laporan bencana, untuk permulaan saya melihat kewartawanan dron boleh digunakan secara kerap untuk laporan trafik setiap pagi atau musim perayaan.

Memandangkan terdapat kesesakan lalu lintas yang konsisten setiap pagi dan pada musim perayaan di beberapa ibu kota di Malaysia, maka penggunaan teknik kewartawanan dron membolehkan penonton mengetahui keadaan trafik semasa yang lengkap dengan visual dan runut bunyi untuk memudahkan mereka membuat jadual perjalanan.  

Akhir sekali, kerjasama di antara organisasi media, Polis dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) contohnya haruslah di wujudkan dahulu.

Satu bentuk sistem latihan teknik menerbangkan dron dan isu-isu keselamatan dalam penggunaan dron juga perlu diberi perhatian.

Di penghujungnya, tujuan kita adalah untuk melahirkan profesional dalam penggunaan dron yang memahami aspek-aspek perundangan dan juga aspek keselamatan nyawa dan harta benda dalam pengendalian dron.




*Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan adalah penyelidik dalam ilmu Perangsaraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (UiTM).

No comments: