shahbudindotcom
Setelah
sekian lama bermusuhan, secara semangatnya Gerakan Selamatkan Malaysia
dan Deklarasi Rakyat yang bertujuan mendesak pengunduran Najib Razak
telah mencantumkan semula Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim yang
bermusuhan sejak 1998 yang lalu.
Bermula
dengan Anwar menyatakan sokongan terbuka kepada usaha yang dilakukan
oleh Tun Mahathir mewujudkan Deklarasi Rakyat, sambil mengatakan demi
kepentingan negara, beliau sudah pun memaafkan bekas Perdana Menteri
itu, ia kini memasuki episod yang lebih jelas apabila Gerakan Selamatkan
Malaysia turut diketuai oleh Kamaruddin Jaafar.
Kamaruddin,
Ahli Parlimen Tumpat, memang diketahui umum sebagai orang kepercayaan
Anwar sejak dulu. Apabila Anwar dipecat daripada UMNO, beliau memilih
menyertai Pas dan dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu. Apabila
Pas bermasalah di mana sebahagiannya menubuhkan Amanah, beliau
sebaliknya memilih menyertai PKR.
Namun
di mana pun Kamaruddin berada, hati dan kesetiaannya tetap pada Anwar.
Selain beliau kini menjadi Ketua Sekretariat Gerakan Selamatkan
Malaysia, Azmin Ali yang juga merupakan orang kanan Anwar telah bermurah
hati menyediakan sebuah pejabat bagi gerakan tersebut.
Difahamkan
juga bahawa Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR turut tiada bantahan
terhadap perlantikan Kamaruddin itu yang sekaligus memberi gambaran
semua elemen yang rapat dengan Anwar sedia untuk bersama Tun Mahathir.
Melalui
pimpinan baru Gerakan Selamatkan Malaysia bagi mencapai matlamat awal
mengumpul sejuta tandatangan Deklarasi Rakyat dan akan mempunyai pejabat
sepenuh masa, Tun Mahathir dilaporkan telah menyatakan persetujuan
untuk turun ke negeri-negeri bagi semua program yang akan diatur nanti.
Bermakna, secara tidak langsung sudah wujud kebersamaan nurani antara Tun Mahathir dengan Anwar bagi menumbangkan Najib.
Kebersamaan
itu bukan saja untuk mendesak pengunduran Najib dalam tempoh segera,
khususnya berkaitan skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta, malah jika
Perdana Menteri terus berdegil tidak mahu berundur, ia pasti akan
berlarutan sehingga kepada pertembungan dalam pilihanraya akan datang.
Maka,
PRU 14 akan menyaksikan pertembungan paling sengit bagi UMNO dan BN di
mana Tun Mahathir tidak mustahil akan menjadi pencatur utama parti-parti
pembangkang, kecuali Pas yang mungkin memilih bertanding secara
sendirian.
Penglibatan
Tun Mahathir bersama parti-parti pembangkang lebih sukar dielakkan jika
bersama kedegilan Najib tidak mahu berundur itu turut disertai dengan
tindakan memecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir
daripada UMNO.
Dengan
terpecatnya mereka itu, pilihan yang ada bagi ketiga-tiga bekas
pemimpin UMNO itu ialah dengan bertanding dalam pilihanraya sama ada
sebagai calon Bebas yang disokong oleh Pakatan Harapan atau menggunakan
simbol salah satu parti dalam gabungan itu.
Melalui
Anwar yang akan memberi idea daripada dalam penjara manakala Tun
Mahathir bersingsing lengan di pentas-pentas kempen, kemenangan dan
kemampuan menubuhkan kerajaan pasti menjadi amat sukar bagi UMNO dan BN.
Gandingan
Tun Mahathir dan Anwar yang bakal menjadi mimpi ngeri bagi UMNO dan BN
itu hanya dapat dielakkan jika Najib sedia meletakkan jawatannya dengan
segera.
Pilihan kini di tangan Najib, bukan di tangan Tun Mahathir atau Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan