Rabu, 6 April 2016

JDT kembali rampas takhta Liga Super

JDT kembali rampas takhta Liga Super
Juan Martin Lucero meraikan kejayaannya menjaringkan gol buat Harimau Selatan.
 

HASRAT pasukan Perak ingin menjadi pasukan pertama membenam Juara Liga Super 2015, Johor Darul Tak'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin pada aksi Liga Super musim ini bertukar angan-angan selepas tewas 2-1 di tangan pasukan selatan tanah air tersebut.

Harimau Selatan yang ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama bangkit mengejutkan pelawat menerusi beberapa gerakkan berbahaya yang gagal dikekang pertahanan mereka.

Separuh masa pertama, Harimau Selatan kelihatan hilang punca apabila dua perancang utama gagal menukar rentak perlawanan selepas diikat ketat oleh pertahanan pelawat.

Gawang tuan rumah dikejutkan apabila, cubaan luar kotak sayap kiri Perak, Elias Fernandes De Oliviera pada minit ke 18 gagal diselamatkan Farizal Marlias.

Tersentak dengan gol berkenaan, JDT cuba merabatkan jurang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya namun gagal menemui jaring lawan.

Babak kedua bersambung menyaksikan JDT mula menujukan belangnya, apabila penyerang import, Juan Martin Lucero berjaya menyempurnakan penalti yang diberi pengadil selepas dia dikasari kapten The Boss Gaurus, Thiago Junio De Aquino pada minit ke 47.

Lucero sekali lagi mencuri tumpuan 20,357 penonton yang hadir di stadium apabila membantu tuan rumah menemui gol kedua pasukan menerusi kelincahan gerakan individunya pada minit ke-52.

The Boss Gaurus kelihatan semakin tertekan apabila ketua jurulatihnya, Syamsul Mohd Saad diarahkan keluar padang pada minit ke 72 kerana mempertikaikan keputusan pengadil, S.Sittharanjanan.

Keputusan kekal 2-1 hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan JDT merampas kembali takhta Liga Super dengan kelebihan satu mata di atas Felda United.


Tiada ulasan: