KOTA BHARU - Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menunggu penjelasan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden Umno yang didakwa dibuat tanpa menggunakan saluran sepatutnya.
Menurutnya, proses mengambil tindakan disiplin terhadap mana- mana ahli parti sepatutnya melalui beberapa peringkat, namun dinafikan dalam mengadili diri beliau.
“Dalam kes saya, tak payah ikut cara, duduk dua jam, bincang, tak bagi tahu apa- apa, tak panggil saya, tak ada surat tunjuk sebab, tiba- tiba saya digantung, sedangkan jika ikut perlembagaan parti bukan begitu caranya.
“Sepatutnya bukan fasal 10.15 yang dirujuk, tetapi fasal 20 dalam perlembagaan iaitu Penubuhan Lembaga Disiplin, di mana sesuatu permasalah itu dibawa kepada pengerusi (Lembaga disiplin) dahulu, jika didapati bersalah, hantar surat tunjuk sebab, barulah boleh diambil tindakan, tapi ia tidak berlaku dalam kes saya, ” katanya ketika berucap dalam satu majlis khas di rumah Ketua Pemuda Cawangan Umno Biah di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, penjelasan yang diharapkan itu bukan untuk membantah keputusan dikenakan terhadapnya, tetapi sekadar bertanya kepada pihak lebih pakar.
“Saya tak pakar dan mahir dalam perkara ini, jadi saya cuma nak dapatkan penjelasan ROS betul atau tak betul apa yang dilakukan Majlis Tertinggi (MT) Umno kepada saya,” katanya.
Pada 26 Februari lalu, MT Umno sebulat suara membuat keputusan di bawah fasal 10.15 Perlembagaan Umno, di mana MT telah bersetuju sebulat suara menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Naib Presiden Unmo, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas- tugas timbalan presiden itu.
No comments:
Post a Comment