Memaparkan catatan dengan label DEKLARASI RAKYAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DEKLARASI RAKYAT. Papar semua catatan

Ahad, 9 Oktober 2016

Selepas Agong, Tun M serah surat kepada semua Sultan maklum Deklarasi Rakyat

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada semua Raja-raja dan Yang Dipertua Negeri untuk memaklumkan usahanya menerusi Deklarasi Rakyat bagi mendesak perdana menteri meletak jawatan.
 
Memetik Sinar Harian, ujar Dr Mahathir, surat yang dihantar pada 4 Oktober lalu itu sebagai satu 'usaha' memandangkan persidangan Majlis Raja-raja bakal bersidang pada 11 Oktober akan datang. 
 
Katanya, surat itu turut memaklumkan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada 15 September lalu.
 
"Setakat ini, saya belum mendapat reaksi daripada Yang di-Pertuan Agong mengenai perjumpaan tersebut. Tetapi, oleh kerana Majlis Raja-raja akan bermesyuarat pada 11 Oktober ini, saya fikir ada baiknya kita hantar surat kepada semua raja.
 
"Ini untuk memaklumkan kepada mereka mengenai rayuan kita supaya Majlis Raja-raja ambil tindakan terhadap apa yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat," kata beliau.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga mendakwa, Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dalam perlembagaan untuk bertindak menangani masalah yang dihadapi rakyat.
 
Malah beliau juga yakin Majlis Raja-raja akan mendengar dan mempertimbangkan rayuan rakyat.
 
Namun menurut Dr Mahathir, beliau akur sekiranya usaha berkenaan tidak mendapat maklum balas positif, sekaligus membayangkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai jalan terakhir.
 
"Kita memang ada perancangan lain iaitu kita akn cuba bertanding dalam PRU14.
 
"Ini kita akan adakan satu pakatan antara parti-parti kawan supaya bertanding dalam pilihan raya secara satu lawan satu. Kalau berpecah, kita akan kalah," katanya. 


Rabu, 5 Oktober 2016

YDPA tidak yakin dengan tuntutan Deklarasi Rakyat, kata Dr Mahathir


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Yang Dipertua Agong (YDPA) tidak yakin dengan gerakan Deklarasi Rakyat (DR) yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, sebagai perdana menteri justeru membuat ketetapan menolak tuntutan itu.
  
Demikian penjelasan, penaja deklarasi itu, Tun Mahathir Mohamad ketika ditanya pemberita apakah maklum balas YDPA berhubung perkara itu, selepas beliau dan pengikutnya mengadap Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, 16 September lalu.
 
"Agong ajukan soalan kepada saya tentang peruntukan undang-undang dan perkara lain, saya jelaskan tetapi di akhir perbincangan saya tidak dapat yakinkan Baginda untuk bertindak (kepada Datuk Seri Najib)," katanya dalam satu sidang media hari ini di Yayasan Kepimpinan Perdana.
 
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata YDPA jelas akan niat Deklarasi Rakyat itu dibuat malah bersetuju usaha yang digerakkannya tidak bertentangan dengan Perlembangaan Persekutuan.
 
"Apa yang kami inginkan tidak boleh diteruskan, kenapa saya tidak boleh beritahu. Mungkin sebab Agong fikir baginda tidak ada kuasa. Tapi kami telah tunjukkan bahawa baginda ada kuasa," katanya lagi.
 
16 September lalu, Dr Mahathir mengadap YDPA dan menyerahkan 1.2 juta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib meletak jawatan, dengan ditemani bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
 
"Agong tidak kata bahawa langkah Deklarasi Rakyat ini bercanggah dengan Perlembangaan Persekutuan. Apa yang kami kemukakan adalah kami tidak akan lalukan ini jika proses undang-undang tidak berjalan di Malaysia. 
 
"Saya terangkan kepada Agong, kita sepatutnya mengadakan undi tidak percaya tapi dia (Najib) punya majoriti, jadi kami tidak boleh kemukakan undi tidak percaya," jelas beliau.
 
Malah beliau turut mengutuskan sepucuk surat kepada Majlis Raja-raja (MRR) bagi mempertimbangkan langkah Deklarasi Rakyat untuk dipertimbangkang oleh Majlis Raja-raja bakal mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-242 pada 11 Oktober depan.
 
"Kita akan tunggu sehingga mereka (Majlis Raja-raja) buat keputusan lepas itu kita akan fikir tentang apa yang akan kita uruskan teruskan usaha kita untuk singkirkan kerajaan Najib," katanya lagi.
 
Najib sebelum ini berkata YDPA sudah menjelaskan kepada Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Ini kerana jelas Najib, deklarasi yang dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan.
 
 

Rabu, 21 September 2016

Deklarasi PPBM tidak mengikut perlembagaan

Astro Awani
Deklarasi PPBM tidak mengikut perlembagaan
Datuk Seri Najib berkata baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan penasihat parti berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar). -Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dilakukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Titah baginda, ia kerana deklarasi yang dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan.

Dalam satu kenyataan, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan penasihat parti berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas baginda, sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim, iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan.


Dalam satu kenyataan, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan penasihat parti berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Dalam satu kenyataan, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan penasihat parti berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menghadap Tuanku Abdul Halim di Istana Bukit Malut, Langkawi minggu lalu.

Ahad, 18 September 2016

Agong, sultan boleh awasi PM, kata peguam Mahathir

Haniff berkata, rakyat tidak patut membincangkan keputusan Agong berhubung Deklarasi Rakyat yang diserahkan Dr Mahathir, Khamis lalu, sebelum baginda mendapat nasihat undang-undang.


Mohamad-Haniff-Khatri-Abdulla


PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk bertindak sebagai ‘semak dan imbang’ terhadap prestasi perdana menteri, kata peguam Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, beberapa peruntukan dalam perlembagaan perlu dibaca bersama untuk menunjukkan Agong dan sultan boleh mengawasi kerajaan pimpinan perdana menteri.

Katanya, pindaan perlembagaan pada 1993 memansuhkan imuniti ke atas pemerintah, di mana Agong dan sultan boleh melakukan ‘semak dan imbang’ ke atas tiga cabang kerajaan yang lain daripada sebarang penyalahgunaan.

Semalam, peguam Syahredzan Johan berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memecat Datuk Seri Najib Razak daripada jawatannya, kecuali majoriti ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap beliau.

Haniff berkata, “pilihan yang ada sekarang adalah menunggu keputusan Agong berhubung Deklarasi Rakyat.”

Katanya, ia tidak patut dan tidak sopan untuk membincangkan perkara itu, sebelum Agong mendapat nasihat undang-undang.

Khamis lalu, bekas perdana menteri menemui Agong di Istana Anak Bukit, Kedah dan menyerahkan Deklarasi Rakyat kepada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, bagi mendesak campur tangan baginda untuk memecat Najib.

 Deklarasi itu ditandatangani secara terbuka oleh 45 individu yang kebanyakannya ahli politik pembangkang, beberapa penyokong Dr Mahathir dan aktivis.

Kempen Selamatkan Malaysia dilancarkan untuk mengumpul tandatangan orang ramai yang kemudiannya menjadi kontroversi, apabila seorang pengaturcara komputer mendakwa menjual pangkalan data mengandungi butir peribadi lebih 600,000 orang.

Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan lebih 1.4 juta tandatangan berjaya dikumpul pihaknya.

Deklarasi Rakyat hanya kenyataan politik, tak mampu jatuhkan Najib

 
Bagaimanapun, pertemuan Dr Mahathir dan Agong menunjukkan baginda agak prihatin dengan isu dibangkitkan dalam Deklarasi Rakyat.


Syahredzan-Johan_najib_raja_600


PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memecat Datuk Seri Najib Razak, kecuali majoriti ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap perdana menteri.

Ahli Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan Agong memecat perdana menteri berdasarkan petisyen atau deklarasi dibuat rakyat.

“Perlu ada bukti dalam bentuk hilang kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat terhadap perdana menteri,” katanya kepada FMT hari ini, susulan penyerahan Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Agong.

Pegawai khas bekas perdana menteri itu, Sufi Yusof ketika dihubungi FMT semalam mengesahkan Dr Mahathir yang ditemani bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengadap Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, Kedah, bagi menyerahkan deklarasi mendesak peletakan jawatan Najib.

Syahredzan berkata, membuat bantahan kepada sultan ketika seseorang ketua kerajaan tidak lagi mendapat sokongan (ahli Parlimen) adalah pendekatan yang diguna pakai di Perak, pada 2009.

Kerajaan Pakatan Rakyat selama 10 bulan yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin digulingkan, selepas 3 adun mengisytiharkan mereka calon Bebas sokong Barisan Nasional yang memberi kelebihan 3 kerusi kepada BN.

Sultan Azlan Shah enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti dinasihatkan Nizar, sebaliknya melantik Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar baharu.

Mahkamah Persekutuan pada 2010 memutuskan hilang kepercayaan terhadap ketua kerajaan tidak semestinya dibuat melalui undi di DUN, tetapi boleh ditentukan sultan atau Agong daripada sumber luar.

Syahredzan bagaimanapun berkata, cara terbaik untuk ahli Parlimen membuat undi tidak percaya terhadap perdana menteri ialah ketika Parlimen bersidang.

Peguam itu berkata, walaupun deklarasi yang ditandatangani 1.4 juta rakyat tidak pernah berlaku sebelum ini, namun ia sekadar kenyataan politik.

“Bagaimanapun, hakikat Agong berkenan menemui Dr Mahathir menunjukkan keprihatinan baginda mengenai isu dibangkitkan dalam deklarasi itu,” katanya sambil menambah ahli Parlimen, khasnya daripada BN perlu mendapatkan pandangan pengundi dan bertindak sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan ahli Parlimen yang kesetiaan mereka terletak di tangan pengundi, bukannya pemimpin atau parti politik.
 

Isnin, 20 Jun 2016

Jangan kaitkan keputusan PRK dengan penolakan Deklarasi Rakyat, kata Mahfuz

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menolak sebarang kaitan kemenangan Barisan Nasional di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai penolakan rakyat terhadap Deklarasi Rakyat.

Katanya, keputusan PRK itu tidak boleh dibandingkan dengan Deklarasi Rakyat kerana ia adalah perkara yang berbeza.

"Itu tidak boleh dibuat satu perbandingan, bagi saya bahawa nampak kerajaan begitu naif dan tersepit dengan menjadikan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) itu untuk menghalalkan semua penyelewengan yang berlaku yang dilakukan oleh mereka.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangan luar biasa BN di dua PRK itu yang dikatakan menjadi bukti bahawa rakyat menolak perjuangan yang dibawa oleh Tun Mahathir dan pembangkang terhadap kepimpinan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan Tun Mahathir berhenti berkempen untuk menjatuhkannya kerana lagi kerap tindakan itu dibuat, BN akan mendapat keuntungan yang lebih besar.

Dalam pada itu, Mahfuz memaklumkan bahawa Deklarasi Rakyat akan meneruskan 'road show' mereka ke seluruh negara selepas sambuat Aidilfitri pada Julai ini.

"Selepas raya ini kita akan teruskan dan buat 'roadshow' ke seluruh negara dan dia akan memasuki fasa yang ke-2," katanya lagi.



Selasa, 14 Jun 2016

Presiden Pas mungkin tak baca Deklarasi Rakyat, kata Amanah

HAZRI NAWAR
 
 
Mujahid kata Hadi tidak baca Deklarasi Rakyat. Gambar Malaysia Dateline oleh Hazri Nawar.Mujahid kata Hadi tidak baca Deklarasi Rakyat. Gambar Malaysia Dateline oleh Hazri Nawar.


Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak membaca kandungan Deklarasi Rakyat apabila mendakwa gerakan itu hanya mahu menukar Datuk Seri Najib Razak sahaja dan bukan menukar sistem.

Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, dalam Deklarasi Rakyat jelas dinyatakan tuntutan perubahan sistem seperti yang dimaksudkan Abdul Hadi.

"Mungkin dia (Abdul Hadi) terlepas pandang fakta itu atau memang dia tak baca.

"Perkara itu memang sebahagian tuntutan yang kita mahu dan Tun Mahathir terima," katanya pada sidang media di Pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas tidak mahu bersama Deklarasi Rakyat yang mahu menjatuhkan Najib semata-mata.

Menyifatkan ianya sebagai tidak memberi faedah, Abdul Hadi dalam reaksinya kepada Tun Mahathir berkata, Pas tidak menentang individu sebaliknya menentang dasar dan pendekatan.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi ketika mengulas perkara sama menjelaskan bahawa adalah tidak mudah untuk menukar sistem selagi cengkaman Najib begitu kuat ketika ini.

Maka katanya, keperluan menukar Najib adalah langkah pertama sebelum sistem keseluruhan dapat diubah.

"Umno ini kekuatannya adalah pada yang nombor satu. Bila tumbang yang nombor satu dengan sendirinya dia akan roboh.

"Presiden Umno sangat berkuasa jadi kalau kita asak presiden itu sendiri saya rasa pada masa itu Umno akan kucar-kacir dan hancur," katanya.

Isnin, 13 Jun 2016

Fokus Deklarasi Rakyat tersasar bila Tun M guna pentas PAN - Tuan Ibrahim

Oleh Shuhaniza Said
  Post Pic

SHAH ALAM: Objektif Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 'tersasar' apabila  mantan Perdana Menteri itu berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 
Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, deklarasi tersebut harus kekal sebagai milik rakyat sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, tanpa melibatkan kecenderungan terhadap mana-mana parti politik. 
"Sebab Deklarasi Rakyat sebagaimana yang beliau kata, Deklarasi Rakyat ini ialah deklarasi bagi pihak rakyat, bukan bagi mana-mana parti politik.
"Jadi sekarang apabila Tun Mahathir naik di atas pentas Amanah (PAN), berkempen untuk Amanah (PAN), beliau telah lari daripada objektif penubuhan Deklarasi Rakyat.
"Ternyata bahawa Deklarasi Rakyat telah menjadi deklarasi parti politik," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
Tun Dr Mahathir mula menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lalu.
Tun M menggunakan pentas Parti Amanah Negara (PAN) yang mewakili gabungan pembangkang itu untuk menyeru rakyat menolak Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi isyarat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.  
Malah perdana menteri yang pernah memerintah negara selama 22 tahun itu, sebelum ini ada menyatakan kesediaannya untuk berkempen bagi calon-calon yang menyokong Deklarasi Rakyat.
Kata tokoh berkenaan juga, beliau akan turut menyokong PAS sekiranya ia menyokong Deklarasi Rakyat, namun parti Islam itu tidak menandatangani deklarasi yang dilancarkan Mac lalu itu.  
"Tapi asalnya ia deklarasi rakyat, jadi saya fikir apabila beliau naik atas pentas dan berkempen dan menyerang PAS, saya fikir ini langkah silap beliau," ujar Tuan Ibrahim lagi. 
Tegas Tuan Ibrahim, PAS mempunyai pendekatan berbeza dengan Deklarasi Rakyat yang bertujuan hanya mahu menurunkan Najib. 
Sebaliknya menurut beliau, PAS kekal dengan pendirian bahawa untuk melakukan perubahan bukan sekadar menurunkan Najib, tapi menukar keseluruhan sistem yang ditunjangi Umno-Barisan Nasional (BN). 
Ketika ditanya sama ada penyertaan Tun Mahathir di dalam kempen Pakatan Harapan memberikan kesan kepada PAS, ujarnya, perkara tersebut akan ditangani dengan gerak kerja jentera parti untuk mendekati pengundi. 
"Masih ada orang untuk mendengar kenyataan beliau, tetapi sejauh mana kesannya kita akan teliti. Bagi PAS, kita akan memberi fokus dalam mendekati pengundi," ujarnya lagi.   

Ahad, 12 Jun 2016

Tun Mahathir ziarahi ayah calon Amanah, bekas Adun, Datuk Abdul Shukur

MALAYSIA DATELINE
 
 
Tun Mahathir di rumah Datuk Shukur ayah calon AmanahTun Mahathir di rumah Datuk Shukur ayah calon Amanah


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi ayah kepada calon Amanah Sungai Besar, Datuk Abdul Shukur yang juga bekas Adun dan Ahli Parlimen di Selangor.

Turut serta adalah isteri bekas perdana menteri paling lama mrmerintah itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Kedua-dua mereka diiringi oleh calon Amanah, Azhar Ab Shukur.

Dr Mahathir mengisytiharkan sokongannya kepada Parti Amanah Negara dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Ia selepas Azhar menandatangani Deklarasi Rakyat hari ini untuk menyokong gesaan pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menegaskan bahawa beliau bukan lagi ahli mana-mana parti, Dr Mahathir berkata beliau berada di situ sebagai seorang warganegara yang prihatin.

Kerana sebab itu, tambahnya, beliau datang untuk menyokong ahli Amanah yang menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib.

Beliau menegaskan demikian dalam ucaptamanya di forum anjura DAP mengenai 1MDB dan skandal RM2.6 bilion di Sekincan.

Khamis, 9 Jun 2016

'Saya diupah baca teks oleh Chegubard'

Pengaturcara komputer bebas yang sebelum ini mendakwa ditipu dalam penjualan 900,000 nama bagi menipu tanda tangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat hari ini tampil dengan akuan bersumpah (SD) terbaru untuk menafikan yang terdahulu.

Dalam SD pertamanya, Azharuddin Othman, 30, mendakwa beliau dimaklumkan nama-nama berkenaan akan digunakan untuk memorandum Deklarasi Rakyat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan urus niaga dijalankan secara atas talian dengan Ema atau juga dikenali sebagai Ratu Naga.

Namun, segala berubah hari ini.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak mengenali individu yang bernama Ema atau juga 'Ratu Naga' dan tidak pernah menjalankan apa-apa urusan dengannya.

"Sebelum ini, saya telah diupah untuk mengadakan sidang akhbar berdasarkan teks yang diberikan oleh orang yang mengupah saya iaitu Badrul Hisham Shaharin ," kata beliau dalam SD terkini itu.

SD itu tersebar di beberapa laman Facebook termasuk Otai Bersih dan Kelab Mukhriz Mahathir.

Syarul Ema juga, sebelum ini, telah menafikan pernah mengadakan sebarang urusan dengan Azharuddin.

Dalam SD terkini, Azharuddin berkata, beliau telah menandatangani dokumen baru untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Badrul Hisham atau 'Chegubard' yang dilihat terbabit dalam SD pertama oleh Azharuddin itu mendakwa SD terbaru sebagai palsu.

"Kalian seolah-olah gembira menyebarkan SD palsu," katanya dalam laman Facebook yang merujuk kepada Otai Bersih dan Kelab Mukhriz Mahathir.

Rabu, 8 Jun 2016

Mahathir dakwa penyokong Najib pengkhianat

 Mahathir Mohamad
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama


SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak memperlekehkan Deklarasi Rakyat dengan tuduhan kononnya deklarasi itu banyak penipuan.

Menurutnya, keraguan itu dibangkitkan supaya polis merampas dokumen tandatangan rakyat yang berusaha merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya menyelamatkan negara.

“Mereka desak polis agar merampas borang deklarasi yang berada dengan sekretariat.

“Dengan harapan supaya polis dapat mengenal pasti individu yang tandatangan deklarasi tersebut dan akan dapat mengugut mereka,” katanya dalam entri terbaharu blognya dengan tajuk Kebebasan Bersuara.

Bekas perdana menteri itu mendakwa wujud ancaman terhadap mereka yang  menandatangani deklarasi berkenaan, termasuk bakal kehilangan bantuan BR1M, biasiswa untuk  anak-anak, peluang perniagaan dan kemudahan lain.

“Sebenarnya memang ramai yang tidak sanggup tandatangan deklarasi kerana rejim Najib akan ugut dan ganggu mereka.

“Jika tidak ada gangguan dan ugutan ini pastinya lebih ramai rakyat yang akan tandatangani Deklarasi Rakyat. Sebenarnya berjuta rakyat bersetuju supaya Najib berhenti daripada menjadi perdana menteri tetapi mereka takut dengan tindakan yang bakal dikenakan rejim Najib,” katanya.

Bulan lalu, Deklarasi Rakyat yang menggesa penyingkiran Najib sebagai perdana menteri mengumumkan berjaya mendapatkan 1.2 juta tandatangan.

Bagaimanapun NGO seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang secara tradisinya berpihak kepada pembangkang telah membuat  laporan polis mendakwa petisyen itu mengandungi penipuan.

Mahathir  turut mendakwa penyokong Najib sebagai pengkhianat bangsa dan demokrasi kerana tidak senang apabila rakyat berani bersuara.

“Usaha untuk mendapatkan Deklarasi Rakyat akan diteruskan kerana saya percaya ramai rakyat Malaysia berani bersuara. Pengkhianat bangsa dan demokrasi  tidak akan berjaya walaupun mendapat perlindungan Najib,” dakwanya.


Selasa, 7 Jun 2016

Pengakuan Dr M tandatangan mencurigakan, aktivis mahu siasatan forensik

MALAYSIAKINI


Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa kira-kira 300,000 nama yang mencurigakan telah dikeluarkan daripada memorandum Deklarasi Rakyat, aktivis Badrul Hisham Shaharin menggesa siasatan menyeluruh membabitkan pasukan forensik polis dijalankan.

Ketua Sahabat Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata pasukan forensik mesti mendapatkan senarai berkenaan daripada programmer atau pengatur cara komputer Azharuddin Othman yang membuat akuan bersumpah mendakwa beliau menjual 900,000 nama daripada pangkalan data miliknya untuk memorandum deklarasi itu.

“Panggil Azharuddin dan dapatkan senarai nama yang dibekalkan kepada seketeriat Deklarasi Mahathir kemudian dapatkan senarai sokongan dari seketeriat Deklarasi Mahathir.

“Bezakan kedua-duanya, jika terdapat pertindihan hubungi penama tersebut dan dapatkan adakah mereka sedar nama mereka dalam senarai sokongan deklarasi tersebut?” kata ahli PKR yang digantung keahliannya dalam satu kenyataan media.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata jika sekretariat Deklarasi Rakyat enggan bekerjasama, maka sudah tentu mereka juga sedar mengenai penipuan ini dan mahu menutupnya.

Semalam, Mahathir mengakui wujud kes beberapa tandatangan berlainan yang dimiliki oleh seorang pengguna MyKad dalam deklarasi itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa nama-nama yang meragukan itu sengaja dimasukkan dalam usaha untuk menggagalkan deklarasi berkenaan yang bertujuan memohon campur tangan Raja-raja Melayu untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir juga mengulangi dakwaannya bahawa ramai rakyat Malaysia mahu menurunkan tandatangan mereka tetapi kerajaan telah menghalang mereka daripada berbuat demikian.

"Mereka menjadi takut selepas kerajaan memutuskan untuk mengurangkan bantuan kewangan BR1M dan mengganggu perniagaan mereka, antara lain," dakwanya.

Sementara itu, Badrul mendakwa penapisan itu dilakukan dalam usaha untuk “menutup bangkai gajah” atau untuk menutup isu yang lebih besar.

“Yang mereka keluarkan hanyalah akuan sokongan yang berulang dan tidak lengkap tetapi bagaimana dengan akuan yang dimasukkan melalui senarai maklumat yang disalin dari pengkalan data yang lain,” soalnya.

Berikutan pendedahan akuan bersumpah Azharuddin, sekretariat Deklarasi Rakyat menafikan mempunyai urusan dengannya mahupun dengan Syarul Ema Rena Abu Samah (yang dikenali dalam talian sebagai Ratu Naga), yang menurut pengatur cara itu data diperoleh daripadanya.

Pada 30 Mei lalu, setiausaha sekretariat itu Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, sejumlah 253,505 tandatangan telah dikeluarkan kerana pertindihan dan tidak lengkap.

Beliau berkata audit ke atas tandatangan akan terus dijalankan untuk memastikan integriti dan kesahihannya.

Badrul juga menekankan perbezaan dalam jumlah yang dinyatakan oleh Mahathir dan Kamaruddin.

Saya percaya kesemua tandatangan Deklarasi Rakyat palsu, kata Tunku Aziz

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pemimpin DAP Tunku Aziz Tunku Ibrahim tidak percaya bahawa hanya 300,000 tandatangan palsu yang diperoleh Deklarasi Rakyat dalam menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Sebaliknya ujar beliau, mungkin kesemua tandatangan itu adalah palsu, selepas pendedahan pengatur cara komputer bebas Azharuddin Othman mengaku terlibat dengan urus niaga menjual pangkalan data penduduk negara kepada kumpulan berkenaan. 
 
"Saya tidak percayalah kalau kata 300,000 sahaja (tanda tangan yang palsu), saya ingat lebih dari itu. (Malah mungkin) semua tanda tangan itu palsu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam Mahathir mengakui sekretariat Deklarasi Rakyat berjaya mengesan sebanyak 300,000 tandatangan palsu berjaya dibuang dan menyifatkan ada pihak tertentu sengaja melakukan pemalsuan tandatangan Deklarasi Rakyat itu secara terancang bagi menggagalkan usaha menjatuhkan Najib.
 
Malah Tunku Aziz mempersoalkan sistem yang digunakan kumpulan itu dalam menggulingkan Najib, selain menganggap dokumen tersebut sudah lagi tidak berharga kerana didapati mengemukakan tandatangan palsu.
 
"Kalau 50 tanda tangan yang palsu pun, dokumen itu sudah tidak berharga lagi tambah pula dia (Tun Mahathir) mengaku 300,000 (yang palsu). 
 
"Kalau satu atau dua juta turunkan tanda tangan Deklarasi Rakyat mana boleh jatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, siapa yang menjatuhkan dia, apa undang-undangnya?" soal Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
 
Tunku Abdul Aziz sebelum ini pernah membuat satu laporan polis terhadap Mahathir pada 23 Mei lalu ekoran kenyataan Mahathir mendakwa beliau gagal mendapat perkenan mengadap Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menyerahkan lebih sejuta tandatangan menuntut pengunduran Najib memandangkan baginda kini menjadi "tahanan dalam rumah".
 
Banyak pihak antaranya Solidariti Anak Malaysia (SAMM) menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dan meneliti kesemua tandatangan yang diturunkan oleh 1.27 juta rakyat.
 
Ini kerana menurut dakwaan Azharuddin hanya 300,000 tanda tangan asli yang diperoleh manakala 900,000 tanda tangan lain adalah palsu.
 
 

Ahad, 5 Jun 2016

Dr M mengelak ketika ditanya kempen PRK

 
 
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengelak ketika ditanya sama ada beliau akan berkempen dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, atau mendedahkan parti mana yang akan disokong.

Sebaliknya beliau berkata 'mungkin' akan berkempen dalam pilihan raya kecil berkenaan dan akan menyokong mana-mana parti yang telah menandatangani Deklarasi Rakyat.

"Saya mungkin. Jika saya diminta, saya akan pergi. Saya sokong penuh calon yang menandatangani deklarasi itu. Saya tidak akan sokong calon yang tidak (Menandatanganinya).

"Saya tidak berada dalam mana-mana parti. Saya bukan di dalam Umno kerana tiada lagi Umno. Ia cuma parti Najib, jadi itu sebab mengapa saya tinggalkan parti Najib.

"Saya tidak berkempen untuk AMANAH. Saya berkempen untuk calon yang percaya dengan deklarasi itu," katanya ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mahathir berkata PAS tidak menyokong deklarasi berkenaan.

"Kalau PAS tandatangan, saya akan sokong mereka juga, tapi parti itu tidak tandatangan," katanya.

Kempen PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar bermula hari ini, dengan hari pembuangan undi ditetapkan pada 18 Jun.

Sebelum ini bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir bersedia berkempen untuk AMANAH dalam dua pilihan raya itu.

Mahathir adalah tonggak utama di sebalik Deklarasi Rakyat yang dirangka selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai kumpulan dan individu, termasuk anggota pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil.

Turut hadir dalam majlis pelancarannya termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu. Namun Mustafa dan PAS berkata kehadiran itu adalah atas kapasiti peribadi.

Deklarasi itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan daripada pejabatnya melalui proses demokrasi. Ia menjadi kontroversi kerana sesetengah aktivis dan ahli politik mempersoalkan kerjasama dengan individu yang didakwa pernah melemahkan institusi di Malaysia.


Deklarasi Rakyat: Dr M akui wujud tandatangan palsu

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamed. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui wujudnya pemalsuan tandatangan menyokong Deklarasi Rakyat bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melepas jawatan.

Katanya, tindakan itu sengaja dilakukan pihak tertentu secara terancang bagi menggagalkan usaha menjatuhkan Najib.

Bagaimanapun menurutnya lagi, pihak sekretariat berjaya mengesan sebanyak 300,000 tandatangan dipercayai dipalsukan dengan sengaja itu.

"Saya tahu ada usaha untuk menipu, ada yang tandatangan satu, ada tandatangan lima hingga enam yang kad pengenalan dia sama.

"Semua itu kita sudah buang dan hampir 300,000 (borang Deklarasi Rakyat) yang terlibat dengan penipuan dan perkara itu dilakukan secara terancang dan kita tahu ada orang yang rancang.

"Tetapi (sehingga kini) sudah lebih 1.2 juta tandatangan yang kita terima. Sepatutnya saya hanya dapat 1 juta tandatangan sehingga hujung tahun tetapi jumlah itu dicapai setelah dua bulan ia dilancarkan," katanya ketika ditemui pada sidang media di sebuah program, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pengatur cara komputer bebas, Azharuddin Othman, mengaku terlibat dengan urus niaga menjual pangkalan data penduduk negara ini bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk keperluan projek Deklarasi Rakyat yang digerakkan Mahathir dan pembangkang.

Azharuddin turut mendakwa kesemua 1.2 juta tandatangan tersebut adalah palsu dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, ramai rakyat yang ingin menandatangan Deklarasi Rakyat, namun dihalang oleh rasa takut kepada pihak kerajaan pemerintah.

"Sebenarnya rakyat sokong dan nak tandatangan tetapi mereka ketakutan  kepada pihak pemerintah apabila pihak pemerintah bertindak melakukan pemotongan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kerajaan akan kacau perniagaan dan lain-lain lagi," katanya.


Sabtu, 4 Jun 2016

30 minit, 37 soalan polis untuk Mahathir

MALAYSIAKINI
Polis dikatakan mengemukakan 37 soalan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, kebanyakannya berkaitan Deklarasi Rakyat bagi menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu didedahkan oleh peguam Mahathir, Ahmad Bazlan Che Kasim kepada pemberita di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir disiasat susulan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong mungkin berada dalam “tahanan rumah”, selepas gagal mendapat perkenan mengadap bagi mengemukakan deklarasi yang ditandatangani lebih 1.2 juta orang.

Bazlan berkata, percakapan Mahathir dirakam bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dirakam.

Ia dirakam pada jam 3.20 petang dan berakhir kira-kira 30 minit ketika itu.
“Dia respon (semua soalan),” katanya.

Mahathir meninggalkan tempat itu dengan sebuah kereta Jaguar berwarna perak sambil melambai kepada pemberita tanpa berhenti menjawab soalan.

Sementara itu, sumber polis memberitahu Malaysiakini, Mahathir mengelak menjawab kebanyakan soalan dan berkata perkara itu haknya di sisi undang-undang.

Ini kali ketiga Mahathir disiasat polis selepas melancarkan kempen menurunkan Najib.

Laporan terhadap Mahathir dibuat oleh anggota sebuah lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, antaranya atas alasan mengancam keselamatan negara.

Isnin, 30 Mei 2016

Deklarasi Rakyat dikawal sistem integriti, nafi terlibat skandal pembelian data

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Ketua Sekretariat Deklarasi Rakyat Dato Kamarudin JaafarKetua Sekretariat Deklarasi Rakyat Dato Kamarudin Jaafar


Sekretariat Deklarasi Rakyat hari ini menafikan sekeras-kerasnya pernah berurusan dengan pengaturcara komputer bebas, Azharuddin Othman yang mendakwa dirinya telah menjual 900,000 nama daripada pangkalan data dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sekretariat itu juga menegaskan tidak pernah terlibat dalam urus niaga dengan Syarul Ema Rena Abu Samah, 26, yang menggunakan nama 'Ratu Naga' di laman sosial Facebook yang dikatakan terpalit sama dalam isu berkenaan.

Ketua sekretariat itu, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya telah mengambil langkah-langkah yang sewajar dan mencukupi untuk membuang tanda tangan 'palsu' sejak deklarasi tersebut dilancarkan.

"Sejumlah 1,071,997 tanda tangan atas talian yang disahkan dan terkini diterima. Kami turut menolak sejumlah 253,505 tanda tangan kerana berlakunya pertindihan dan ketidak lengkapan. Baki 200,000 dikumpul dalam bentuk kertas.

“Proses audit ke atas tanda tangan yang diterima dijalankan secara berterusan bagi memastikan integriti dan kesahihannya.

"Sekretariat percaya apa yang akhirnya diserahkan kepada Yang DiPertuan Agong adalah dokumen yang dipercayai dan bebanan tanggung jawab yang diserahkan oleh mereka yang menanda tangani dokumen itu," jelasnya dalam kenyataan seperti dipetik Malaysiakini.

Minggu lalu, Azharudin mendakwa beliau ditipu dalam penjualan ratusan ribu nama untuk menipu tandatangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat.

Beliau mendakwa dihubungi oleh Ema yang menjanjikannya bayaran RM5,000 sebagai habuan.

Pangkalan data itu, katanya, adalah antara yang dibekalkan kepada semua parti-parti politik pada pilihan raya umum ke-13.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, gerakan itu sentiasa komited dengan perjuangannya untuk membawa mereka yang melakukan rasuah besar-besaran ke muka pengadilan.

"Usaha-usaha ini (dakwaan tanda tangan palsu) bertujuan memperkecilkan sokongan rakyat kepada Deklarasi Rakyat selain melawan mereka yang berjuang demi menjayakan agenda reformasi," ujarnya

PKR Wilayah tolak Deklarasi Rakyat 'anjuran' Mahathir

 
 
PKR Wilayah Persekutuan menolak Deklarasi Rakyat yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil mengulangi komitmen mereka kepada gerakan reformasi dan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ikrar itu dinyatakan dalam satu surat yang dialamatkan kepada Wan Azizah, bertarikh 19 Mei dan ditandatangani Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad.

Idris mengesahkan kesahihan surat itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Di dalamnya, ADUN Ijok itu memperincikan hasil mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan pada 18 Mei, yang bersetuju untuk:

- Menyokong sepenuhnya Wan Azizah sebagai pemimpin utama parti itu.

- Menolak penglibatan Mahathir dan Umno dalam gagasan Deklarasi Rakyat.

- Mengetepikan Deklarasi Rakyat dan terus menyokong gerakan reformasi untuk menyelamatkan Malaysia, menukar institusi kerajaan, dan membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Yang mana hadir mesyuarat sebulat suara sokong. Siapa yang tak hadir saya tak tahulah sokong atau tidak," kata Idris.

Ditanya mengapa mereka menulis surat itu, beliau berkata ia adalah sebagai tindak balas kepada serangan Dr Mahathir terhadap Anwar.

"Dr Mahathir kutuk habis-habis ketua umum (PKR), kata tak layak (memimpin), tua sangat lah dan macam-macam.

"Takkanlah kita sebagai ahli parti, pemimpin nak biar je ketua kita dikutuk," tegasnya.

Idris juga mengecam Deklarasi Rakyat dengan mengatakan ia tidak berjuang untuk pembebasan Anwar mahupun membuat pembaharuan, tetapi semata-mata bertujuan untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kami tidak mahu parti terpesong dari misinya," tambah beliau.

Pengisytiharan PKR Wilayah Persekutuan itu muncul tiga hari selepas surat daripada Anwar kepada PKR yang memberi amaran kepada mereka tentang kerjasama dengan Mahathir, dan telah dibocorkan kepada orang ramai pada 16 Mei.

Anwar mengeluh kerana beberapa pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang didakwa membela golongan elit dan mengamalkan kronisme.

Beliau memberi amaran bahawa bekerja dengan mereka boleh menjejaskan perjuangan PKR.

Anwar berkata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presidennya, Tian Chua diberi kuasa untuk berunding mengenai Deklarasi Rakyat, tetapi hasilnya bertukar menjadi satu 'dokumen Mahathir yang cacat'.

Sabtu, 28 Mei 2016

Mahfuz selar individu dedah tanda tangan Deklarasi Rakyat 'palsu'

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan antara penyokong Deklarasi Rakyat, mempertikaikan  tindakan sekumpulan individu  yang mendakwa berlaku pemalsuan dalam  mengumpul  1.2 juta tandatangan untuk menyokong  deklarasi itu. 
 
Wakil rakyat Pokok Sena itu juga berkata, akuan bersumpah (SD) yang dibuat individu bernama Azharuddin Othman ragu-ragu dan boleh dipertikaikan.
 
"Dia (Azharuddin) telah membuat pengakuan melakukan kesalahan sedangkan perkara itu tak betul, dia melakukan kesalahan menjual 'database' itu. 
 
"Keduanya, tuduhan mengatakan bahawa deklarasi itu berasaskan 'database' adalah tidak betul.
 
"Sebab saya sendiri, kami turun ke medan, turun ke pasar malam, pekan sehari, pasar tani, pasar raya untuk bertemu rakyat. Rakyat begitu ghairah untuk menandatangani borang deklarasi kerana ingin melihat (Datuk Seri) Najib berundur daripada Perdana Menteri," katanya. 
 
Semalam, sekumpulan individu yang diketuai pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa kumpulan pendokong Deklarasi Rakyat memalsukan tandatangan rakyat untuk mendapatkan jumlah yang banyak dalam tempoh singkat.
 
Bagi menguatkan hujah tersebut, seorang lelaki dikenali sebagai Azharuddin Othman yang didakwa terlibat dalam pemalsuan itu turut diketengahkan.
 
'Saksi' itu yang bekerja sebagai pengaturcaraan komputer bebas secara sambilan mendedahkan, beliau dihubungi seseorang yang dikenali sebagai Ratu Naga menawarkan khidmat untuk membeli pengkalan data (database) rakyat Malaysia bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk projek Deklarasi Rakyat. 
 
Untuk 'tugas' itu, dakwa Azharuddin, beliau ditawarkan bayaran RM5,000. Namun bayaran yang diterima hanya RM1,000 dan sehingga kini beliau tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan selepas menyelesaikan tugasan yang dikehendaki.          
 
Bagaimanapun Ratu Naga menafikan perkara tersebut dan dilaporkan akan membuat sidang media hari ini bagi menjawab tuduhan berkenaan.
 
 

Khamis, 26 Mei 2016

Demi Allah saya tak kenal dia – Ratu Naga

 
Beliau juga menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan inisiatif Deklarasi Rakyat 


ratu naga


PETALING JAYA: ‘Ratu Naga’ menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau pernah berhubung dengan pengaturcara komputer separuh masa Azharuddin Othman @ Abdullah, apatah lagi membeli pengkalan data 900,000 nama dan kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat daripadanya.

“Dengan nama Allah saya tak kenal dia langsung. Ini fitnah. Tapi saya tergamam sebab dia boleh bersumpah kenal saya,” kata Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah ketika dihubungi FMT.

Beliau juga berkata tidak pernah memiliki sebarang perkaitan dengan inisiatif Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

“Saya mana ada kaitan dengan Deklarasi (Rakyat). Salam dengan Tun pun tak pernah,” katanya lagi.

Ditemani Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, seorang individu bernama Azharuddin Othman @ Abdullah hari ini tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi ‘Ratu Naga’ yang ingin membeli pangkalan data 900,000 nama pada harga RM5,000.

“Pada 27 April 2016, saya dihubungi oleh Ratu Naga untuk membeli pangkalan data warganegara Malaysia dengan tujuan mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat, yang disokong oleh Tun Mahathir (Mohamad),” katanya dan mendakwa hanya menerima RM1,000 dan bukannya seperti yang dijanjikan.

Azharuddin mendakwa memiliki data tersebut memandangkan kerjanya sebagai pengaturcara komputer separuh masa dengan parti-parti politik bagi tujuan pilihan raya.

Sebelum ini, Ratu Naga menerusi akaun Facebooknya meluahkan kemarahannya dan berkata tidak akan berdiam diri dengan dakwaan tersebut.

“Saya akan buat PC (sidang media) jawab balik. Saya akan diam? No (tidak), biar saya pula lawan,” katanya yang difahamkan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.