Isnin, 11 April 2016

'Datuk Najib, tolonglah bantu kami...'


'Datuk Najib, tolonglah bantu kami...'


BANTING - "Kami pohon sangat kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk campur isu pemberhentian sementara lebih 400 pekerja di sebuah kilang di sini, hari ini."

Demikian luahan seorang pekerja Mohd Amir Rapini Ishak, 41, yang sudah 12 tahun bekerja di kilang berkenaan.

Menurutnya, dia mengetuai rakan sekerja membuat bantahan di hadapan kilang berkenaan supaya isu pemberhentian sementara itu dapat diselesaikan dengan memberi bayaran pampasan dan bukannya memberi hanya 50 peratus daripada gaji penuh.

"Kalau gaji kami RM1500, separuh daripada itu RM750, nak bagi anak isteri makan apa?

"Lainlah kalau kami diberi pampasan dan surat makluman sampai bila masalah ini boleh diselesaikan," katanya.

Mohd Amir berkata, dia antara 489 pekerja yang diberhentikan kerja buat sementara waktu dari kilang itu.
"Saya ada tiga orang anak masih sekolah, bila dah jadi macam ni saya jadi risau.

"Hingga kini saya tak tahu nak mengadu kepada sesiapa melainkan ada campur tangan daripada pihak luar," katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam demonstrasi berkenaan kira - kira 60 pekerja berkumpul melaungkan rasa tidak berpuas hati dengan menunjukkan pelbagai sepanduk.

Sinar Harian bersama wakil media yang hadir turut cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak kilang tersebut sejurus demonstrasi berkenaan.


Tiada ulasan: