Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk PAS mewujudkan kerajaan campuran
dengan Umno sebagaimana pandangan yang dilontarkan tokoh penceramah
antarabangsa, Dr Zakir Naik, kata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr
Mahfodz Mohamad.
Menganggap cadangan Dr Zakir sebagai pandangan peribadi, Mahfodz
berkata pendakwah itu tidak mengetahui situasi politik sebenar yang
berlaku di Malaysia.
"Pandangan Dr Zakir itu bagus, tetapi PAS lebih tahu keadaan (politik)
di Malaysia. Beliau yang datang sesekali (mungkin) nampak bagus.
"(Akui) Secara teorinya bagus, namun realitinya di Malaysia, rakyat
lebih tahu apa yang berlaku di dalam politiknya antara Umno dan PAS. PAS
juga belum bersedia untuk bekerjasama politik dengan Umno," katanya
ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Dr Zakir, pada semalam melontarkan pandangan kerajaan campuran Umno-PAS
memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam usaha membawa negara ke
depan selain mengukuhkan Islam.
Tidak mencadangkan dua parti berkenaan untuk bergabung, sebaliknya
pendakwah itu berpendapat adalah lebih baik jika Umno-PAS membentuk
kerajaan campuran.
Dr Zakir juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia untuk bekerjasama
dalam membentuk kerajaan campuran dan menyifatkan ia sebagai jalan
terbaik sekiranya usaha itu berjaya direalisasikan.
Dr Zakir berkata demikian mengulas pertemuannya bersama Najib dan Hadi beberapa hari lalu.
Mahfodz, bagaimanapun menegaskan PAS kekal dengan pendiriannya selama
ini untuk menolak gabungan politik bersama Umno, melainkan kerjasama
yang membabitkan kepentingan rakyat dan Islam itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan